Exco PAS di Perlis akan lepas jawatan, kata Takiyuddin

Exco PAS di Perlis akan lepas jawatan, kata Takiyuddin

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata ia tanda solidariti susulan peletakan jawatan Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan dibentuk menteri besar Perlis baharu.
PETALING JAYA:
Semua exco PAS di Perlis akan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti susulan peletakan jawatan Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata parti itu juga tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang akan dibentuk menteri besar Perlis baharu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas meneliti dan mempertimbangkan situasi semasa membabitkan kerajaan Perlis dan Perikatan Nasional (PN).

“PAS komited meneruskan kelangsungan dan keberadaan PAS dalam kerajaan Perlis selaras mandat yang diberikan rakyat pada PRU15.

“PAS menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN,” katanya dalam kenyataan.

Kemelut di Perlis tercetus selepas lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi menarik sokongan terhadap Shukri sebagai menteri besar.

Susulan itu, Shukri yang juga Adun Sanglang melepaskan jawatan menteri besar atas faktor kesihatan pada Khamis lalu dan digantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.

Pagi tadi, Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan ini.

Takiyuddin berkata, PAS sedia menerajui PN untuk memperkasakan organisasi itu dan membuat persiapan menjelang PRN serta PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.