
US Southern Command yang bertanggungjawab ke atas pasukan AS beroperasi di Amerika Tengah dan Selatan, berkata serangan pada Selasa menyasarkan “tiga konvoi kapal penyeludupan dadah” dan membunuh tiga orang dalam sebuah bot.
Lokasi sebenar serangan itu tidak didedahkan. Serangan sebelum ini berlaku di Caribbean atau timur Pasifik.
Pihak tentera berkata, kapal disasarkan itu dikendalikan “Organisasi Pengganas Ditetapkan” yang tidak dikenal pasti.
Kenyataan di X itu turut disertakan video yang menunjukkan tiga bot yang belayar bersama terkena beberapa siri letupan.
“Tiga pengganas narkotik atas bot pertama terbunuh dalam serangan pertama. Baki pengganas dadah meninggalkan dua bot lain dengan melompat ke laut sebelum serangan susulan menenggelamkan bot terbabit.”
Pihak tentera berkata, ia memaklumkan Pengawal Pantai untuk “mengaktifkan sistem mencari dan menyelamat” tanpa memberi butiran lanjut berhubung nasib individu yang berada atas bot lain.
Sejak September 2025, tentera AS melancarkan lebih 30 serangan serupa ke atas bot didakwa digunakan untuk menyeludup dadah ke AS tanpa memberi sebarang bukti kukuh bot disasarkan itu terbabit pemerdagangan manusia.
Pakar undang-undang antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia berkata, serangan itu mungkin pembunuhan di luar bidang kuasa kerana ia menyasarkan orang awam yang tidak mendatangkan ancaman segera kepada AS.
Beberapa bulan kebelakangan ini, Presiden AS, Donald Trump, melancarkan kempen tekanan ke atas Presiden berhaluan kiri Venezuela, Nicolas Maduro, dengan menuduhnya mengendalikan kartel dadah.
Maduro menafikan dakwaan itu dan menuduh Washington berusaha menukar rejim bagi mendapatkan akses ke atas rizab besar minyak negara Amerika Latin itu.