Mahkamah Singapura benar tangguh pelaksanaan hukuman Pannir

Mahkamah Singapura benar tangguh pelaksanaan hukuman Pannir

P Pannir Selvam yang disabitkan Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 51.84gm dadah jenis heroin sepatutnya berdepan hukuman mati esok.

Pannir Selvam Pranthaman
Pada 2017, P Pannir Selvam disabitkan dengan kesalahan di mahkamah Singapura kerana bertindak sebagai penghantar dadah dengan membawa 51.84 gram heroin ke negara itu, kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Warga Malaysia P Pannir Selvam telah diberikan penangguhan hukuman mati pada saat-saat akhir oleh Mahkamah Rayuan Singapura hari ini.

Pannir, yang disabitkan pada 2017 oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 51.84gm dadah jenis heroin ketika diperiksa di pos pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014, dijadualkan berdepan hukuman mati esok.

Peguamnya di Malaysia L Surendran, berkata penangguhan itu dibenarkan oleh Hakim Woo Bih Li hari ini susulan cabaran berterusan Pannir terhadap Seksyen 18(2) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura.

Selain itu, ia juga berkait aduan berterusannya mengenai kelakuan peguamnya di Singapura sebelum ini, Ong Ying Ping.

Di bawah Seksyen 18(2), sesiapa yang terbukti atau dianggap mempunyai dadah terkawal dalam milikan mereka dianggap telah mengetahui sifat dadah itu, melainkan ia dibuktikan sebaliknya.

“Kami tidak mempunyai perkataan untuk menggambarkan perasaan lega semua orang,” kata Surendran kepada FMT.

“Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa Pannir masih dihukum mati… Ia bukan hanya Pannir. Ramai rakyat Malaysia yang lain bakal menghadapi hukuman gantung di Singapura sekarang.”

Di bawah undang-undang Singapura, seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 15g diamorphine atau heroin tulen atau lebih 250g methamphetamine, atau lebih 500g ganja, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Pannir, yang diberi bungkusan oleh seorang warga Malaysia untuk diserahkan kepada seorang lelaki Singapura sebaik tiba di Singapura, secara konsisten menafikan mengetahui bungkusan itu mengandungi dadah.

Pannir juga diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman mati pada 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.