
Long Sa Kow, 64, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di depan Majistret R Salini, yang turut memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan, jika gagal membayar denda.
Penduduk tetap Singapura itu didakwa mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Kulai kira-kira 10.30 malam 2 Jan lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli memohon denda minimum kerana lelaki itu pesara tanpa pendapatan tetap dan perlu menanggung seorang isteri yang juga suri rumah serta tiga anak, dengan dua daripadanya masih bersekolah.
“Ini kesalahan pertamanya dan dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya dan akan mematuhi undang-undang serta peraturan Malaysia,” katanya menurut Berita Harian.
Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.
Berdasarkan fakta kes diakui benar oleh tertuduh pada 4 Jan lalu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai mengesan satu video memaparkan sebuah kereta berwarna perak bernombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai.
Hasil siasatan mendapati, tertuduh sebagai pemandu kereta yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M menutup huruf S dan M pada nombor plat itu bagi mengisi minyak subsidi RON95.