
Presiden Challenger Malaysia itu berkata, belia perlu didedahkan kepada kerumitan kerjaya politik, termasuk memahami sebab rakan sebaya tertentu menyokong dasar secara berbeza, cara menguruskan bantuan dan melobi perubahan Perlembagaan.

Beliau berkata demikian susulan nasihat Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, kepada anak muda supaya tidak tergesa-gesa menyertai politik atas alasan kekurangan model peranan boleh dipercayai dalam politik Malaysia.
Wakil rakyat PKR itu sebaliknya mencadangkan anak muda membina kerjaya sendiri terlebih dahulu, sebelum mempertimbangkan untuk menyertai politik.
Jean yang tidak senada berkata, ramai ahli politik semasa memulakan kerjaya mereka pada usia 20-an.
Beliau mendakwa anak muda yang sering diketepikan dalam perbincangan dasar dan tidak diberikan peranan kepimpinan, sepatutnya didedahkan kepada peluang, bukannya sekadar menjadi jentera sayap Pemuda parti politik.
Tanpa akses kepada rangkaian kepimpinan parti, katanya, anak muda tiada peluang melobi untuk dijadikan calon pilihan raya.

Penyelaras Borneo Komrad, Mukmin Nantang yang sependapat dengan Wong, memberi amaran kepada anak muda, mereka mungkin kehilangan tujuan jika tiada model peranan positif dalam parti.
Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan nasihat Wong supaya anak muda menangguhkan hasrat menyertai politik.
Tetapi, beliau memberi amaran kepada ahli parti lebih muda yang mengikut rakan sejawat lebih senior secara membuta tuli.
“Idealisme dan prinsip terhakis kerana mereka tidak mempunyai contoh baik apabila memasuki struktur politik formal.”
Perwakilan belia kekal penting

Pengarah Advokasi dan pengasas bersama Undi18, Tharma Pillai, berkata pengundi muda perlu diberikan perwakilan langsung dalam penggubalan dasar memandangkan lebih separuh daripada pengundi berusia bawah 40 tahun.
Menurutnya, demokrasi perlu mencerminkan keperluan dan pandangan semua rakyat, khasnya golongan muda.
“Perwakilan belia penting kerana generasi berbeza mempunyai kebimbangan unik dan norma budaya berlainan. Ia bukan saja perbezaan dasar, tetapi juga perbezaan pandangan dunia dalam beberapa kes antara generasi tua dan muda.”