
Saifuddin berkata desakan itu disuarakan secara terbuka sejak Oktober tahun lalu susulan keyakinannya Muhyiddin telah hilang kemampuan untuk memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), khususnya selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) 2025.
Kritikannya itu menjadi punca bekas ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu dipecat parti pada 6 Jan lalu.
Menerusi tulisan di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menghuraikan tiga faktor utama yang menjadi asas pendiriannya, iaitu kelemahan dari segi ilmu, kemahiran dan adab kepimpinan.
Menurut Saifuddin, Muhyiddin gagal menawarkan hala tuju jelas untuk masa depan parti dan negara, sebaliknya terperangkap dengan nostalgia kejayaan lalu.
Katanya, kekeliruan politik dibiarkan berlarutan dalam parti tanpa usaha menanganinya secara tuntas, selain ketiadaan idea baharu bagi mendepani cabaran semasa dan mematangkan demokrasi Malaysia.
“Tiada pandangan sarwa atau visi masa depan,” katanya meminta Muhyiddin meletak jawatan dan berundur pencalonan perdana menteri sebelum PRU16.
Saifuddin turut mengkritik gaya pengurusan Muhyiddin yang disifatkan tidak mendengar denyut nadi ahli dan mengendalikan isu Akuan Bersumpah (SD) secara sewenang-wenangnya hingga mencetuskan kekeliruan dalaman.
Beliau juga membangkitkan beberapa isu pengurusan PN, termasuk pelantikan kepimpinan tanpa rundingan dengan parti komponen, kelewatan menggantikan jawatan Pengerusi PN serta peranan Muhyiddin yang disifatkan terhad dan mengecewakan dalam PRN Sabah.
Selain itu, Saifuddin mendakwa pendekatan autokratik dalam melantik dan memecat pimpinan tertinggi, serta kegagalan menangani persepsi buruk terhadap Lembaga Disiplin Bersatu, telah melemahkan keyakinan ahli dan masyarakat.
Dari sudut adab kepimpinan, Saifuddin berkata Muhyiddin gagal menangani isu-isu yang menyentuh integriti dan moral, termasuk membiarkan perlakuan tidak bermoral dinormalisasikan dalam parti.
Beliau mendakwa penggunaan kata-kata kesat serta toleransi terhadap skandal peribadi bercanggah dengan nilai agama dan prinsip kepimpinan berakhlak.
“Apalah ertinya apabila pimpinan hilang kompas moral,” katanya sambil mengingatkan ketaatan kepada pemimpin dalam Islam adalah bersyarat, selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul.