‘Tumbangkan’ 3 PM, kini Hamzah jadi mangsa Muhyiddin

‘Tumbangkan’ 3 PM, kini Hamzah jadi mangsa Muhyiddin

Muhyiddin Yassin dilihat masih ampuh dan dapat membaca strategi kumpulan yang cuba menjatuhkannya.

Muhyiddin Yassin

Teka-teki berhubung kedudukan Hamzah Zainudin dalam Bersatu akhirya terjawab. Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan Ahli Parlimen Larut itu yang bagaimanapun masih boleh merayu terhadap hukuman terbabit

Perkembangan baharu dalam krisis Bersatu itu menunjukkan betapa ampuhnya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, seorang tokoh politik yang telah bergelumang dengan onak dan duri dalam dunia itu puluhan tahun lamanya.

Cubaan menjatuhkan Muhyiddin dalam Bersatu, parti yang ditubuhkannya selepas dipecat Umno pada 2016, menemui kegagalan. Malah, ia membuktikan bahawa presiden Bersatu itu bukanlah mudah untuk dipermainkan.

Ramai pihak mungkin tersilap percaturan kerana menyangka Muhyiddin sudah hilang sengat, namun hakikatnya beliau tokoh politik yang licik dan memahami strategi permainan kuasa.

Sejarah membuktikan kemampuannya untuk ‘menumbangkan’ tiga perdana menteri, langkah yang mungkin jarang mampu dilakukan mana-mana pemimpin lain dalam politik Malaysia kecuali Dr Mahathir Mohamad.

Bukan mudah mengatasi taktik politik Mahathir, namun masa akan menentukan sama ada strategi Muhyiddin lebih ‘dewa’ memandangkan beliau masih aktif berpolitik.

Langkah pertama Muhyiddin tercatat semasa era pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi pada 2008. Desakan dan tekanan Muhyiddin membawa pengunduran perdana menteri kelima terbabit.

Muhyiddin pada waktu itu menggunakan alasan prestasi teruk Umno pada PRU12 selain tekanan tambahan dari Mahathir. Najib Razak mengambil alih tampuk pentadbiran negara dan Umno manakala Muhyiddin bertindak sebagai timbalannya.

Kemudian beliau sekali lagi menunjukkan ketajaman politiknya apabila membantu menjatuhkan Najib, orang dibantunya ke puncak kuasa sebelum itu. Semua bermula dengan pemecatannya dari Kabinet kerana teguran berhubung isu 1MDB.

Pada 24 Jun 2016, beliau dipecat daripada Umno yang membawa kepada penubuhan Bersatu yang turut disertai Mahathir.

Dalam kitaran politik dramatik itu, Muhyiddin bersama Bersatu bertanding atas tiket PKR pada PRU14 lalu menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa lebih enam dekad.

Mahathir kemudiannya diangkat sebagai perdana menteri, kali kedua dalam sejarah negara.

Langkah ketiga berlaku ketika pengunduran Mahathir, kira-kira enam tahun lalu menerusi ‘Langkah Sheraton’, Muhyiddin muncul sebagai perdana menteri yang baharu pada 29 Feb 2020. Beliau dipilih dengan cara yang dramatik.

Dramatik kerana turut disokong musuhnya iaitu Umno yang dijatuhkan dari koridor Putrajaya dua tahun sebelumya, selain PAS serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

PAS kemudiannya bergabung dengan Bersatu bawah panji Perikatan Nasional (PN) walaupun parti itu sebelumnya dilihat rapat dengan Umno.

Walaupun pemerintahannya agak singkat iaitu sekitar 17 bulan sebelum digantikan Ismail Sabri Yaakob, beliau telah membuktikan kemampuannya untuk kembali ke gelanggang kuasa pada saat krisis politik paling getir.

Ketika ramai menyangka sentuhannya tidak lagi setajam dulu namun Muhyiddin sekali lagi membuktikan kemampuan politiknya. Pada PRU15, beliau memimpin PN dan memberi saingan sengit kepada Pakatan Harapan (PH).

Hasilnya, tiada mana-mana parti yang memperoleh majoriti mutlak sebelum PH bergabung dengan BN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah serta parti kecil dan wakil bebas.

Keadaan itu sekali lagi menunjukkan pengaruh dan strategi Muhyiddin yang masih relevan.

Fenomena ini menjelaskan bukan mudah menjatuhkan Muhyiddin. Kepakarannya dalam membaca situasi politik, membina strategik dan menggunakan momentum pada saat genting menjadikan beliau tokoh yang ramai pemimpin Bersatu masih ingin berpaut.

Keputusan Lembaga Disiplin Bersatu terhadap Hamzah hanya satu daripada episod dalam babak politik yang lebih besar — di mana pengaruh dan pengalaman Muhyiddin tetap menjadi faktor penentu arah parti.

Namun permainan politik dalam Bersatu sebenarnya belum tamat. Muhyiddin berdepan satu lagi cabaran untuk memastikan ‘kewujudan’ Bersatu di Dewan Rakyat.

Ini kerana 17 daripada 23 Ahli Parlimen dari parti itu telah menyokong gesaan Naib Presiden Ronald Kiandee supaya Muhyiddin meletak jawatan. Ditambah pemecatan enam lagi termasuk Hamzah, suara Bersatu semakin mengecil.

Apakah strategi politik Muhyiddin yang dikatakan bijak mencatur akan menyebabkan parti Melayu itu menjadi seakan bunga raya yang semakin ‘melayu’ dan lama kelamaan mati.

 

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.