Pecat tak praktikal, pemimpin Bersatu gesa gencatan senjata

Pecat tak praktikal, pemimpin Bersatu gesa gencatan senjata

Rosol Wahid berkata konflik dalaman parti hanya mengganggu tumpuan ketika pilihan raya semakin hampir.

Rosol Wahid
Rosol Wahid memberi amaran konflik dalaman berlarutan akan menjejaskan parti dan mengecewakan pengundi yang melihat Bersatu sebagai alternatif kepada Pakatan Harapan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Rosol Wahid menggesa pimpinan parti menghentikan pertelingkahan dalaman sambil menyifatkan langkah memecat ahli sebagai tidak praktikal ketika pilihan raya semakin hampir.

Rosol berkata konflik dalaman yang berterusan hanya mengalihkan perhatian parti pada waktu yang amat kritikal.

“Kita sedang berdepan ‘perang besar’ dalam pilihan raya. Pada pandangan peribadi saya, adalah tidak praktikal untuk memecat sesiapa ketika ini,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau berkata pimpinan Bersatu di peringkat bawahan kini hanya menunggu dan melihat perkembangan dalam kalangan kepimpinan tertinggi, khususnya Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Hamzah Zainudin.

Rosol memberi amaran jika konflik dalaman itu dibiarkan berlarutan, ia bukan sahaja akan menjejaskan parti malah mengecewakan pengundi yang mengharapkan Bersatu sebagai alternatif kepada Pakatan Harapan.

Kenyataan Rosol dibuat sehari selepas Hamzah memaklumkan beliau tidak dapat menghadiri prosiding Lembaga Disiplin parti yang dijadualkan hari ini kerana berada di Sydney, Australia, bagi membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya.

Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin susulan dakwaan cuba mensabotaj Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 serta melemahkan kepimpinan parti.

Notis bertarikh 6 Feb itu menyatakan ia merupakan panggilan kedua selepas satu notis awal dikeluarkan pada Oktober tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.