
Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata LVG yang diperkenalkan pada 1 Jan 2024 adalah cukai jualan ke atas barang diimport dari luar negara berharga tidak melebihi RM500 dan dijual peniaga secara dalam talian.
Menurutnya, barangan itu dihantar melalui perkhidmatan kurier udara kepada pembeli di Malaysia dan perluasan skop cukai di bawah Akta Cukai Jualan 2018.
“LVG telah dikuatkuasakan bermula 1 Jan 2024 dan sehingga kini sejumlah 63 penjual daripada 15 negara telah berdaftar.
“Bagi 2024, kutipan hasil yang diperoleh daripada LVG sebanyak RM476.1 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Anwar yang juga perdana menteri menjawab soalan Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang memintanya menyatakan jumlah kutipan cukai baharu seperti LVG, cukai perkhidmatan digital (DST) serta cukai keuntungan modal (CGT).
Anwar berkata jumlah kutipan hasil CGT hanya akan diketahui bermula 1 Julai iaitu selepas membayar cukai syarikat mengemukakan borang nyata cukai pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran semasa secara e-filing.
Menurutnya, kerajaan mulai 1 Mac 2024 meluaskan skop cukai pendapat dengan memasukkan skop baharu berasaskan konsep CGT ke atas pelupusan saham tidak tersenarai bagi syarikat yang kadar dikenakan berdasarkan tarikh saham diperolehi.
“Pembayar cukai boleh memilih kadar pada 10% atas keuntungan bersih pelupusan saham atau 2% atas nilai jualan kasar bagi tarikh saham diperolehi sebelum 1 Mac 2024 dan 10% atas keuntungan bersih pelupusan saham bagi selepas 1 Mac 2024,” katanya.
Berhubung DST, Anwar menjelaskan cukai dikuat kuasa 1 Jan 2020 itu yang dikenakan bagi perkhidmatan digital oleh orang berdaftar asing (FRP) kepada pengguna di Malaysia telah menyumbang RM1.6 bilion tahun lalu.
“Ia membabitkan sejumlah 464 FRP daripada 29 negara dan menyumbang kutipan hasil sebanyak RM1.6 bilion bagi 2024,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memandangkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada difahami peniaga serta rakyat kerana sudah digunakan lebih 40 tahun.
“Ia masih boleh ditambah baik untuk menjana hasil tambahan bagi kerajaan dengan lebih pantas berbanding langkah memperkenalkan semula GST yang memerlukan tempoh masa persediaan lebih panjang, sama ada di pihak kerajaan mahupun industri,” katanya.