Unit amanah dikecuali cukai keuntungan modal, pendapatan sumber asing

Unit amanah dikecuali cukai keuntungan modal, pendapatan sumber asing

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata pengecualian itu berkuat kuasa sejak 1 Jan.

Pengecualian cukai pendapatan sumber asing bagi unit amanah berkuat kuasa hingga 31 Dis 2026, manakala cukai keuntungan modal pula berkuat kuasa hingga 31 Dis 2028.
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai pendapatan sumber asing (FSI) terhadap unit amanah, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Amir berkata, pengecualian ke atas FSI berkuat kuasa dari 1 Jan hingga 31 Dis 2026 manakala pengecualian ke atas CGT berkuat kuasa 1 Jan hingga 31 Dis 2028.

“Ini bagi memastikan rakyat akan terus mendapat manfaat sepenuhnya daripada keuntungan wang titik peluh mereka dan melabur untuk masa depan mereka,” katanya dalam ucapan pada pelancaran logo baharu Bursa Malaysia.

Amir berkata pengecualian CGT itu sebagai maklum balas diterima kerajaan mengenai perkara itu.

“Melalui pelbagai pembabitan kami adakan bagi perkara ini, menjadi perhatian kami bahawa bidang yang terkesan oleh CGT ialah unit amanah dengan lebih 90 peratus pemegang unit amamah adalah individu,” katanya.

CGT pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 yang disemak pada Februari tahun lepas.

Dalam membentangkan Belanjawan 2024, Anwar berkata kerajaan akan mengenakan CGT bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10% mulai 1 Mac 2024.

Cadangan untuk memperkenalkan CGT menerima pelbagai reaksi, dengan beberapa pakar mengalu-alukan langkah itu dan yang lain berkata ia mungkin menyebabkan aliran keluar dana asing.

Pengecualian cukai ke atas FSI sehingga 2026 telah diumumkan sebelum ini pada 2022. Pengumuman itu adalah berbalik daripada cadangan awal dalam Belanjawan 2022 untuk mengenakan cukai ke atas rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan dari luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.