
Namun, pakar percukaian pula mengingatkan bahawa ia memerlukan kajian lebih mendalam.
Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan, berkata kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan kadar rendah CGT bagi pelupusan saham tidak tersenarai, bermula 2024.
Pengarah Penyelidikan Bait al-Amanah, Benedict Weerasena, berkata langkah itu bertepatan dan mahu ia dilaksanakan secepat mungkin bertujuan meningkatkan pendapatan.
“Walaupun timbul kebimbangan CGT mungkin menyebabkan aliran keluar dana asing, ia penting diperjelaskan bahawa Malaysia adalah satu daripada beberapa lagi negara di rantau ini yang tidak mempunyai percukaian sedemikian.
“CGT merupakan cukai progresif dan menangani ketidakadilan, memandangkan kebiasaannya penerima keuntungan modal adalah individu kaya atau syarikat yang mempunyai kapasiti kewangan memegang aset seperti itu,” katanya kepada FMT Business.
Profesor ekonomi dari Monash University Malaysia, Niaz Asadullah bersetuju bahawa pengenalan CGT pada 2024 adalah landasan tepat mengambil kira negara Asean lain seperti Indonesia, Thailand, dan Vietnam, semuanya mengenakan CGT.
“Walaupun Singapura tidak mengenakan cukai itu, negara berkenaan mempunyai asas cukai lebih meluas dan nisbah cukai kepada KDNK lebih tinggi iaitu 15%. Di Malaysia, nisbahnya lebih rendah lingkungan 12%,” katanya.
Bukan masanya perkenal CGT
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito, pula mempunyai pandangan berbeza. Beliau berpendapat pengenalan CGT bukan langkah bertepatan memandangkan negara bergelut menarik pelaburan.
“Walaupun ia bagus untuk melihat kerajaan memikirkan mengenainya, namun kita bakal berdepan kelembapan ekonomi, dan CGT tidak akan membantu,” katanya.
“Berbanding memotong perbelanjaan, kerajaan mensasarkan mengurangkan hutangnya dengan memperkenal cukai barangan mewah yang dipersoal, atau mengenakan cukai pendapatan lebih tinggi kepada kumpulan berpendapatan tinggi tertentu,” katanya sambil menyatakan kerajaan kurang menekankan strategi menyeluruh bagi reformasi cukai.
Ketua Cukai PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, Jagdev Singh, menasihatkan kajian mendalam terhadap potensi mengenakan CGT perlu dilakukan secara “dasar terukur”.
“Ini demi memastikan manfaat melangkaui kos terhadap impak ekosistem pelaburan, dan beban pentadbiran kepada pihak berkuasa percukaian dan pembayar cukai,” katanya dalam kenyataan.