
Perdana menteri ketika membentangkan Belanjawan 2023 menjelaskan cukai mengenakan had nilai tertentu mengikut jenis barang, seperti jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.
“Kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang punyai kemampuan,” katanya di Dewan Rakyat.
Pentadbiran Anwar juga akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat, mulai 2024 pada kadar yang rendah.
“Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa Jabatan Perangkaan mendapati kumpulan T20 menguasai 47% atau hampir separuh jumlah pendapatan isi rumah.
Dari sudut tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kumpulan T20 memiliki 80% daripada keseluruhan jumlah simpanan, katanya.
“Mengambilkira pendapatan dan kekayaan negara yang tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit mahakaya, adalah wajar agihan hasil negara ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah,” katanya.