
Pengerusinya William Ng mengakuinya dapat meningkatkan kutipan cukai dan mengurangkan beban hutang negara, bagaimanapun ia tidak seharusnya menjejaskan usahawan dan PKS.
“Tatkala ‘pemain’ saham sepenuh masa, yang tidak menambah apa-apa nilai kepada ekonomi atau industri, dikecualikan daripada sebarang cukai, cukai baru ini yang menyasarkan PKS dan usahawan yang mungkin telah mengambil berpuluh tahun untuk mencapai prestasi sekarang, adalah tidak wajar.
“Usahawan dan pemilik PKS akan dikenakan cukai apabila mereka bersara dan menjual perniagaan mereka ataupun apabila membawa masuk pelabur baharu,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi pengumuman Belanjawan 2024, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.
Kerajaan juga mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awam awal (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Ng berharap kerajaan akan mendapatkan pandangan lanjut daripada pihak berkepentingan kerana butiran Cukai Keuntungan Modal masih belum dimuktamadkan.
Menurutnya, perlu ada pengecualian penuh untuk penjualan saham oleh pengasas syarikat atau selepas tempoh pegangan saham melebihi 5 tahun, untuk menggalakkan pelaburan jangka panjang dan memupuk keusahawanan.
“Kami juga berharap akan ada pengecualian cukai keuntungan ini ke atas sebarang aktiviti penggabungan dan pengambilalihan untuk menggalakkan aktiviti tersebut di kalangan PKS,” katanya.
Bagaimanapun, mereka menyambut baik inisiatif memperkasakan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) dan visa jangka panjang untuk graduan asing universiti tempatan bagi membantu meningkatkan bilangan pekerja mahir untuk industri.
“Kami berharap dana untuk TVET boleh diagihkan melalui agensi pembangunan kemahiran peringkat negeri untuk penyelarasan lebih baik dengan industri,” katanya.