Bomoh mengaku tak salah amang seksual remaja ketika rawatan

Bomoh mengaku tak salah amang seksual remaja ketika rawatan

Tertuduh berusia 67 tahun didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari hingga Julai 2022.

mahkamah muar
Harun Ismail, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan, tiga tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang juga pesakitnya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Harun Ismail, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor, lapor Harian Metro

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berusia 13 tahun ketika kejadian di sebuah tanah rancangan di Segamat pada waktu malam, antara Januari hingga Julai 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan laporan, mangsa mengalami penyakit misteri sebelum menghubungi tertuduh untuk mendapatkan rawatan secara tradisional.

Tertuduh yang datang ke rumah keluarga mangsa memulakan rawatan namun warga emas itu didakwa merawat dengan cara pelik sehingga menyebabkan remaja terbabit berasa tidak selesa.

Mangsa kemudian menceritakan perkara itu kepada neneknya sebelum membuat laporan di IPD Segamat.

Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM25,000 terhadap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan terhadap lelaki itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sekali dan tidak mengganggu atau berkomunikasi dengan saksi pendakwaan terutama mangsa.

Tertuduh membayar ikat jamin dan kes disebut semula pada 19 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.