
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata tangkapan dilakukan di kediaman berasingan di sekitar Sungai Buloh pada 2 dan 2.30 pagi, hari ini.
“Tangkapan melibatkan seorang lelaki berumur 18 tahun iaitu penunggang dan seorang lagi lelaki berumur 15 tahun merupakan pembonceng. Turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu video berdurasi 14 saat dimuat naik di Facebook memaparkan penunggang motosikal mengangkat tayar hadapan, manakala pembonceng melakukan aksi berbahaya dengan menyeretkan kepalanya atas jalan raya.
Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Tun Razak pada 30 Jan antara 3.30 pagi hingga 4 pagi.
Video itu mendapat perhatian ramai dengan lebih 1,500 tanda suka dan puluhan komen di Facebook.
Sementara itu, Zamzuri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Beliau turut meminta orang ramai atau saksi kejadian tampil membantu siasatan.