Karim wajar kekal kerana pencapaiannya, kata veteran PBB

Karim wajar kekal kerana pencapaiannya, kata veteran PBB

Peter Minos berkata Karim menggalas dua portfolio menteri Sarawak dengan 'berkesan'.

Peter Minos Abdul Karim Rahman Hamzah
Peter Minos (kiri) berkata Karim Hamzah sebagai menteri pelancongan melaksanakan banyak inisiatif yang menarik empat juga pelancong ke Sarawak tahun lepas.
PETALING JAYA:
Seorang veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata pencapaian Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri di Sarawak mewajarkan keputusan premier untuk mengekalkannya dalam Jemaah Menteri Sarawak, walaupun beliau kehilangan jawatan naib presiden dalam pemilihan parti.

Peter Minos berkata Karim menggalas dua portfolio dengan ‘berkesan’, lapor Borneo Post.

Karim adalah menteri belia, sukan dan pembangunan usahawan serta pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan.

Minos menarik perhatian kepada peranan Karim membantu Sarawak merampas gelaran juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu dan banyak inisiatif yang dilaksanakan untuk menarik empat juta pelancong ke Sarawak tahun lepas.

“Sebagai menteri, beliau telah melakukan keajaiban. Mempunyai banyak tenaga dan inisiatif, Karim melakukan banyak kebaikan untuk Sarawak dan cemerlang dalam apa sahaja yang dilakukan,” katanya.

Minos berkata PBB tidak boleh kehilangan seorang menteri yang ‘berkesan dan bekerja keras’.

Malam tadi, Premier Abang Johari Openg mengesahkan Karim akan mengekalkan jawatan menteri di sebalik keputusan pemilihan PBB, dan berkata tidak akan ada rombakan Jemaah Menteri Sarawak.

Karim meraih hanya 669 undi, yang meletakkannya di tempat kelima daripada enam calon yang bersaing untuk empat jawatan naib presiden.

Beliau berkata terpulang kepada Abang Johari untuk membuat keputusan mengenai jawatannya dan sanggup berundur jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.