Bahagi kerusi: GPS buat keputusan secara kolektif

Bahagi kerusi: GPS buat keputusan secara kolektif

Keadilan harus memandu proses melibatkan PBB, SUPP, PRS, dan PDP, kata Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ketua Penerangan PBB Abdul Karim Rahman Hamzah kata bukan PBB yang mengagihkan kerusi, mengingatkan ia salah satu komponen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan secara kolektif membuat keputusan mengenai 17 kerusi DUN baharu, tegas Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah.

Karim berkata keadilan harus memandu proses yang melibatkan PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), dan Parti Demokratik Progresif (PDP), lapor Dayak Daily.

“Bukan PBB yang akan mengagihkan. Kerajaan diuruskan oleh GPS, dan PBB hanyalah salah satu parti komponen. Jika kita meletakkan seolah-olah PBB sahaja yang mengagihkan, ia tidak akan kelihatan baik kerana kita kerajaan gabungan,” katanya.

Karim menegaskan keadilan dan keterbukaan untuk mendengar rakan-rakan gabungan perlu diutamakan, meskipun kekuatan PBB diperakui. “Kita tidak boleh perintah parti-parti komponen lain,” katanya di Kuching.

Beliau bagaimanapun berkata parti-parti lebih kecil juga harus bersikap praktikal.

Karim menerangkan proses pembahagian kerusi lazimnya diputuskan melalui perbincangan antara presiden keempat-empat parti.

Beliau beri gambaran bahawa demografi antara perkara yang diperhatikan, misalnya kawasan majoriti Cina berkemungkinan besar akan diberi kepada SUPP, manakala kawasan majoriti Melayu kepada PBB. “Lebih kurang begitu,” katanya.

DUN Sarawak meluluskan pertambahan kerusi daripada 82 kepada 99, pada Julai.

Semasa membentangkan rang undang-undang tersebut, Karim berkata peningkatan itu wajar untuk menampung pertumbuhan penduduk, pembangunan bandar, dan kawasan luar bandar yang luas.

Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab untuk menentukan sempadan 99 kerusi tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.