
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat bagi persidangan Dewan Negara esok, satu majlis angkat sumpah akan diadakan pada permulaan sidang, namun ia tidak mendedahkan nama individu terlibat.
Menurut laporan The Star yang memetik sumber, senator akan mengangkat sumpah adalah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar.
Mereka mengangkat sumpah untuk penggal pertama pada Disember 2022, manakala Tengku Zafrul Aziz yang kini bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri pula mengangkat sumpah untuk penggal kedua ketika itu.
Ketika ini, Jemaah Menteri mempunyai tiga kekosongan susulan peletakan jawatan menteri ekonomi Rafizi Ramli serta menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad pada Mei, dan menteri pembangunan usahawan dan koperasi Ewon Benedick bulan lalu.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan kini mengambil alih portfolio ekonomi buat sementara waktu, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani menggalas portfolio sumber asli dan kelestarian alam sekitar.
Portfolio yang sebelum ini disandang Ewon kini diuruskan Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.