Video jelas tunjuk pemimpin Suaram ditahan polis, peguam beritahu KDN

Video jelas tunjuk pemimpin Suaram ditahan polis, peguam beritahu KDN

Penyelaras Lawyers for Liberty, Zaid Malek mengecam Kementerian Dalam Negeri kerana menafikan Sevan Doraisamy ditangkap.

Sevan Doraisamy
Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dilihat masuk ke dalam kenderaan polis yang membawa beliau ke IPD Putrajaya untuk dirakam keterangan.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mengecam Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menafikan penahanan seorang pemimpin NGO polis semalam.

Penyelarasnya Zaid Malek berkata rakaman video menunjukkan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy, memang ditangkap di luar pejabat NGO terbabit.

Menurutnya, Sevan turut diarah oleh anggota polis untuk mengikut mereka ke IPD Putrajaya untuk memberi kenyataan.

Beliau juga berkata, video itu menunjukkan polis tidak membenarkan Sevan menangguhkan pemberian kenyataannya ke satu tarikh lain.

“Video ini menjadi bukti mutlak bahawa penafian oleh polis (dan KDN) adalah tidak berasas dan tidak jujur.

“Adakah tiada sesiapa dari KDN yang melihat rakaman itu sebelum mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan bukti video?” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, menahan Sevan hanya untuk merekod kenyataannya sebagai tindakan keterlaluan, tidak sah, dan penyalahgunaan kuasa polis yang jelas, dan menambah ia melanggar undang-undang yang melarang penahanan seseorang semata-mata untuk memaksa mereka memberi kenyataan.

Semalam, Suaram mendakwa Sevan dan penyelarasnya, Azura Nasron, ditangkap selepas polis datang ke pejabat NGO itu untuk menyerahkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah bagi memberi kenyataan mereka kepada polis.

Mereka dibebaskan selepas kira-kira sejam memberi kenyataan.

Bagaimanapun, KDN dan Ketua Polis Putrajaya, Aidi Sham Mohamed, menafikan bahawa dua aktivis itu ditahan, dengan kementerian menegaskan bahawa mereka hanya dipanggil untuk memberi kenyataan.

Pada Isnin, Suaram dan ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) hadir di Kementerian Dalam Negeri bagi menyerahkan memorandum menuntut jawapan segera berhubung kesejahteraan tahanan.

Pegawai kementerian ada bertemu dengan pihak keluarga di pekarangan kementerian, namun hanya menyatakan kebimbangan mereka akan disampaikan kepada pihak berkenaan.

Suaram dan ahli keluarga terbabit, yang berkeras mahu bertemu pegawai bagi penyerahan memorandum itu, kemudian berjaya melepasi pintu masuk kompleks kementerian, tetapi dihalang ke bangunan utama.

Minggu lalu, kira-kira 50 orang termasuk ahli keluarga tahanan Sosma berkampung di pekarangan Penjara Sungai Buloh kerana protes penolakan permohonan lawatan oleh Jabatan Penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.