Kerajaan mohon tangguh pelarasan pencen pesara sementara tunggu rayuan

Kerajaan mohon tangguh pelarasan pencen pesara sementara tunggu rayuan

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, sukar bagi kerajaan mendapatkan semula pencen RM1.7 bilion yang telah dibayar jika menang rayuan.

wan ahmad dahlan
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 16 Jan akan menyebabkan kerajaan menanggung kos RM1.7 bilion. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memfailkan permohonan untuk menangguhkan penyelarasan pencen pesara penjawat awam yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu keputusan rayuan.

Dalam afidavit yang disahkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, terdapat keadaan khas yang memerlukan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi.

“Perintah itu, yang dibuat pada 16 Jan, bukan sahaja melibatkan 56 litigan, malah 531,976 pesara atau tanggungan mereka dan akan menyebabkan kerajaan menanggung kos RM1.7 bilion,” katanya dalam dokumen yang dilihat oleh FMT.

Wan Ahmad berkata, keseimbangan kemudahan memihak kepada penangguhan.

Menurutnya, hitungan bayaran perlu dilakukan secara manual dan akan mengambil masa.

Katanya, pembayaran itu juga akan membawa implikasi kewangan bagi kerajaan, menambah bahawa sulit bagi kerajaan untuk mendapatkan semula bayaran yang telah dikeluarkan sekiranya menang rayuan.

Kerajaan telah memfailkan sijil segera agar rayuannya cepat didengar.

Peguam Shukor Ahmad mengesahkan penerimaan permohonan itu hari ini, termasuk afidavit yang disahkan oleh Wan Ahmad.

Kerajaan memfailkan notis rayuannya pada 23 Jan dalam usaha membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan oleh Hakim Amarjeet Singh.

Hakim itu memutuskan pada 16 Jan bahawa pekeliling perkhidmatan yang dikeluarkan pada 2016 memberi kesan terhadap semakan gaji penjawat awam.

Berikutan itu, katanya, pesara kerajaan berhak mendapat pencen sepadan dengan gaji yang diselaraskan, mengikut Akta Penyelarasan Pencen 1980.

“Mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan (yang menolak rayuan kerajaan), pencen terbelakang mesti dibayar mulai Januari 2022 (tarikh keputusan Mahkamah Rayuan) sehingga semakan gaji seterusnya,” katanya.

Amarjeet memerintahkan ketua pengarah perkhidmatan awam membuat bayaran pencen dalam tempoh tiga bulan mulai 16 Jan.

Pada 29 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas penjawat awam, Aminah Ahmad, dan pemohon bersamanya memulakan prosiding semakan kehakiman selepas peguam negara tidak mengemukakan bantahan.

Permohonan itu menamakan kerajaan dan ketua pengarah perkhidmatan awam sebagai responden.

Permohonan itu bagi memaksa responden melaksanakan penyelarasan pencen mengikut formula ditetapkan bawah Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen, sebelum undang-undang itu dipinda pada 2013.

Bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji semasa penjawat awam dalam gred sama.

Pindaan pada 2013 memperkenalkan kenaikan tahunan kadar rata sebanyak 2%.

Aminah kalah dalam saman permulaan di Mahkamah Tinggi pada 2020. Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada 2022, memutuskan pindaan Akta Penyelarasan Pencen pada 2013 batal dan tidak sah.

Pada 27 Jun 2023, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.