Simpanan KWSP dan masalah pengeluaran sekali gus

Simpanan KWSP dan masalah pengeluaran sekali gus

FMT menyelami asas di sebalik punca mengapa rakyat ‘ketandusan’ simpanan KWSP dengan cepat dan apa boleh dipelajari daripada sistem pencen di luar negara.

An asian elderly person paying for a purchase
Ramai warga emas berisiko kehabisan simpanan selepas bersara, menjadikannya penting untuk pembaharuan dalam sistem pencen.
PETALING JAYA:
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, persaraan menimbulkan satu persoalan penting: Apa yang perlu dilakukan dengan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Secara majoritinya, jawapannya adalah mengeluarkan semua simpanan sekali gus.

Namun, pendekatan pengeluaran ini mempunyai kelemahan besar. Ramai pesara menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh beberapa tahun pertama selepas bersara.

Cabaran lebih besar ialah rakyat Malaysia kini hidup lebih lama, bermakna dana persaraan perlu bertahan selama beberapa dekad, bukan sekadar beberapa tahun.

FMT merungkai asas di sebalik mengapa pesara Malaysia ketandusan simpanan KWSP dalam tempoh singkat dan apakah pengajaran boleh diambil daripada sistem pencen global.

Budaya pengeluaran sekali gus di Malaysia

Di bawah model KWSP sedia ada, ahli boleh mengeluarkan keseluruhan simpanan secara sekali gus pada usia 55 atau 60 tahun.

Hampir 97% mengambil pilihan ini, walaupun kebanyakan bersara dengan simpanan kurang daripada RM50,000, satu jumlah yang hanya mampu bertahan lebih empat tahun jika dibelanjakan RM1,000 sebulan.

Perancang kewangan, V Rajendaran, berkata kebanyakan pesara menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akibat kehilangan ‘kesan gaji bulanan’, selain kurang disiplin pendapatan dan literasi kewangan.

Menurutnya, tanpa sistem bayaran berstruktur, pesara berisiko berbelanja berlebihan atau membuat keputusan pelaburan yang lemah.

“Budaya pengeluaran sekali gus ini bukan sahaja mempercepatkan penyusutan simpanan, malah menyebabkan pesara terdedah kepada kemiskinan pada usia lanjut,” katanya.

Jangka hayat lebih panjang, kos lebih tinggi

Jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat kepada sekitar 76 tahun. Namun, dengan ramai pesara hidup 20 tahun atau lebih selepas meninggalkan tenaga kerja, simpanan mereka gagal menampung keperluan jangka panjang.

Ahli ekonomi Madeline Berma, felo kanan Institut Masa Depan Malaysia berkata jurang ini diburukkan lagi oleh peningkatan kos sara hidup, yang memaksa ramai mengeluarkan dana persaraan lebih awal daripada sepatutnya.

“Pengeluaran berulang, termasuk melalui Akaun Fleksibel yang baharu, menunjukkan orang ramai bergantung kepada simpanan KWSP untuk menampung perbelanjaan harian,” kata mendiang Madeline dalam temu bual, Ogos lalu.

Di bawah penstrukturan semula KWSP pada Mei 2024, caruman kini dibahagikan kepada tiga akaun: Akaun Persaraan atau Akaun 1 (75%), Akaun Sejahtera atau Akaun 2 (15%) dan Akaun Fleksibel (10%).

Akaun 3, atau Akaun Fleksibel, membolehkan pencarum membuat pengeluaran pada bila-bila masa, bertujuan memberi akses lebih mudah kepada dana persaraan, khususnya ketika kecemasan.

Semasa pandemik, kerajaan membenarkan pengeluaran khas melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra. Lebih RM145 bilion dikeluarkan oleh lebih 7.3 juta ahli bagi mengimbangi kesan kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan.

Berma berkata walaupun pengeluaran ini memberi kelegaan jangka pendek, ia mungkin meninggalkan pesara dengan baki simpanan yang sangat rendah.

“Gabungan jangka hayat yang lebih panjang, kos yang lebih tinggi dan pengeluaran sekali gus hanya akan memburukkan lagi masalah ini,” katanya.

Amalan negara lain

Pengeluaran sekali gus memberi pesara kawalan penuh ke atas wang mereka, namun tempias daripada pendekatan ini jelas: Fleksibiliti sepenuhnya sering mengakibatkan perlindungan yang tidak mencukupi daripada kemiskinan pada usia tua.

Negara lain menangani isu ini melalui ketetapan seperti anuiti mandatori atau bayaran berjadual yang masih memberi pilihan, tetapi dengan had perlindungan bagi memastikan kelestarian.

Di Singapura, CPF LIFE secara automatik menukar sebahagian simpanan persaraan kepada bayaran bulanan seumur hidup bermula pada usia 65 tahun. Tiada pilihan pengeluaran tunai sepenuhnya, sekali gus melindungi pesara daripada menghabiskan simpanan terlalu awal.

Sistem pencen berkanun Jerman pula berasaskan pendapatan dan sistem ‘pay-as-you-go’, tanpa pengeluaran sekali gus, hanya faedah bulanan tetap seumur hidup.

Sistem Caruman Tertakrif Nasional (NDC) Sweden merekodkan caruman dalam akaun nasional, tetapi melaraskan bayaran mengikut peningkatan jangka hayat, memastikan kelestarian tanpa menjejaskan keadilan.

Model pengeluaran fleksibel United Kingdom pula memasukkan langkah perlindungan, termasuk keperluan mendapatkan bimbingan kewangan bagi menggalakkan kadar pengeluaran yang mampan.

Potensi langkah ke hadapan

Rajendaran berkata Malaysia boleh mewajibkan anuiti separa dengan mensyaratkan sebahagian simpanan KWSP disalurkan kepada bayaran bulanan bagi menampung keperluan asas, sambil membenarkan pengeluaran sekali gus untuk fleksibiliti.

Beliau juga mencadangkan pengenalan lantai pencen sejagat, iaitu pencen asas tanpa caruman untuk semua warga emas Malaysia tanpa mengira baki KWSP, bagi melindungi mereka daripada risiko kemiskinan pada usia tua.

“KWSP boleh memperluaskan produk sedia ada seperti i-Lindung kepada penyelesaian mirip anuiti yang lebih kukuh, yang menjamin pendapatan seumur hidup.

“Tidak kurang pentingnya ialah kaunseling prapersaraan dan kempen kesedaran, khususnya untuk golongan B40 dan sektor tidak formal, supaya rakyat Malaysia memahami risiko jangka hayat panjang dan keperluan perancangan yang mampan,” katanya.

Masalah pencen yang kian mendesak

Budaya pengeluaran sekali gus telah lama berakar dalam landskap persaraan Malaysia. Namun, apabila jangka hayat semakin panjang dan simpanan semakin berkurangan, budaya ini semakin tidak mampan.

Contoh di luar negara menunjukkan bahawa bayaran berstruktur dan anuiti bukan bertujuan menyekat pilihan, sebaliknya melindungi pesara daripada kehabisan wang ketika mereka paling memerlukannya.

Memperkukuh sistem pencen Malaysia memerlukan usaha menangani dilema pengeluaran sekali gus dan menyediakan pendapatan mampan — bukan pengeluaran sekali gus — sebagai teras pembaharuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.