Campur beras: Undang-undang ‘tak jalan’ tanpa penguatkuasaan, tegas Syed Hussin

Campur beras: Undang-undang ‘tak jalan’ tanpa penguatkuasaan, tegas Syed Hussin

Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup ulas cadangan menjadikan campur beras tempatan dan import untuk tujuan manipulasi sebagai jenayah.

SYED HUSSIN AND HASSAN KARIM
Ketua Kluster Makanan Naccol, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, sahut cadangan Ahli Parlimen Hassan Karim bagi menghentikan tindakan campur beras untuk kaut keuntungan.
PETALING JAYA:
Hakikatnya undang-undang tidak akan membawa perubahan yang diharapkan tanpa penguatkuasaan secara tegas dan berkesan, tegas ketua kluster makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (Naccol).

Menyahut cadangan menjadikan tindakan mencampurkan beras tempatan dan import untuk tujuan manipulasi sebagai kesalahan jenayah, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal perakui keperluan rang undang-undang tersebut namun penguatkuasaan perlu dipertingkatkan.

“Kalau ada undang-undang pun penguatkuasaan tidak dibuat maka tak jalan,” katanya mengulas cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, baru-baru ini.

“Di mana penguatkuasaan sehingga rakyat keluh kesah.”

Hassan ketika membahaskan titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Khamis mencadangkan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) ditambah ‘taring’ supaya tindakan mencampur beras untuk mengaut keuntungan dan menyebabkan rakyat terpaksa bayar harga mahal dihentikan.

“Hassan pun tahu tidak ada kuasa boleh berikan hukuman berat kepada pihak manipulasi ini,” kata Syed Hussin.

Pada 24 Okt lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dilapor akan menjalankan siasatan terhadap ke atas beberapa kilang padi yang didakwa menukar beras tempatan kepada beras import.

Timbalan Menteri Arthur Joseph Kurup memberitahu Dewan Rakyat satu peraturan baharu perlu diwujudkan untuk memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) sekiranya siasatan mengesahkan tuduhan ada campuran beras.

Pada 15 Jan lalu, Menteri Mohamad Sabu mengumumkan kementerian sedang kaji secara terperinci sama ada mahu membenarkan atau tidak penjualan beras campuran.

Mohamad berkata tiada larangan jelas tentang pencampuran beras di dalam Akta Kawalan Padi dan Beras, dan cadangan itu turut disokong Suruhanjaya Persaingan Malaysia sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras.

Ketika itu, Syed Hussin berkata BPT ‘hilang’ di pasaran kerana harga beras putih import mahal berbanding harga BPT yang ditetapkan siling.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.