Beras campur: KPDN periksa 308 premis, buka 99 kertas siasatan

Beras campur: KPDN periksa 308 premis, buka 99 kertas siasatan

KPDN turut hantar sampel DNA beras kepada Mardi dan akan ambil tindakan bawah Akta 730 jika didapati berlaku kesalahan.

beras
KPDN guna Akta 730 dalam penguatkuasaan isu beras campur kerana kewujudan campuran beras import dan tempatan merupakan suatu kesalahan dagangan palsu, kata Armizan Mohd Ali.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memeriksa 308 premis dan membuka 99 kertas siasatan berhubung isu campuran beras import dan tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, menerusi Ops Campur yang dijalankan, KPDN memperoleh 99 sampel DNA beras, dengan 17 daripadanya telah diserahkan kepada Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi).

“Kita serahkan kepada Mardi untuk buat analisis dan DNA ini kita akan hantar secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di Putrajaya, lapor Bernama.

“Jika DNA beras tempatan didapati dalam sampel itu, kita akan buat tindakan selanjutnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.”

Penguatkuasaan Ops Campur merangkumi perundangan bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), iaitu tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama bawah Seksyen 5.

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM250,000.

Armizan berkata, KPDN menggunakan Akta 730 dalam penguatkuasaan isu beras campur kerana kewujudan campuran beras import dan tempatan merupakan suatu kesalahan dagangan palsu.

“Bawah Akta Perihal Dagangan ada peruntukan yang melihat kepada kesalahan membuat perihal dagangan palsu,” katanya.

“Kalau mana-mana pihak menjual beras, contohnya dengan label beras import, tetapi sebenarnya ada kandungan beras tempatan, bermakna ia membuat perihal dagangan palsu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.