Pendedahan tak terkawal bahayakan pemberi maklumat dan bukti, kata pemantau rasuah

Pendedahan tak terkawal bahayakan pemberi maklumat dan bukti, kata pemantau rasuah

Ada kewajaran tidak tawar perlindungan kepada pemberi maklumat yang dedah kepada orang ramai sebelum melapor kepada agensi penguatkuasaan.

Presiden badan pemantau rasuah, Jais Abdul Karim (kiri) dan Muhammad Mohan, bimbang pelaku jenayah akan cuba menghapuskan bukti selepas pendedahan.
PETALING JAYA:
Mendedahkan maklumat sebelum melapor kepada agensi penguatkuasaan berpotensi mendorong suspek menghapuskan bukti selain mendedahkan identiti pemberi maklumat, menurut pemimpin badan pemantau rasuah.

Berdasarkan pandangan mereka, ada kewajaran pada ketegasan kerajaan untuk tidak menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat kepada orang ramai sebelum melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim, berkata pendedahan maklumat harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan tindakan undang-undang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Pendedahan tidak terkawal boleh membahayakan pemberi maklumat, mengganggu siasatan, dan memberi peluang kepada suspek untuk menghapuskan bukti,” katanya kepada FMT.

“Lebih membimbangkan, pendedahan awam boleh mendedahkan identiti pemberi maklumat dan membuka ruang kepada ancaman serta tindakan balas oleh pihak yang berkepentingan.”

Kelmarin, menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) beritahu Dewan Rakyat bahawa cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711) tidak menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat kepada orang ramai sebelum melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.

Azalina Othman Said berkata pemberi maklumat mesti melaporkan maklumat tersebut kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu, untuk layak diberi perlindungan.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berhubung video tular melibatkan dakwaan rasuah di Sabah.

Kok bertanya sama ada Akta 711 akan melindungi pemberi maklumat yang mendedahkan kes-kes kepentingan awam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada November mengkritik individu yang dikatakan seorang ‘pemberi maklumat’ yang terlibat dalam pendedahan apa yang didakwa kes rasuah, yang dikaitkan dengan Adun Sabah.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata peguam individu terbabit mengemukakan kepada SPRM rakaman audio 17 saat yang kurang jelas, namun beberapa hari kemudian individu berkenaan kongsi rakaman video berkait dakwaan rasuah itu dengan portal berita Malaysiakini.

“Kita harus faham kalau aduan dibuat melalui media bagaimana pihak penguatkuasa boleh menjalankan siasatan dengan baik? Besar kemungkinan mereka yang terlibat dalam jenayah akan cuba menghapuskan bukti-bukti yang ada,” kata Presiden Transparency International-Malaysia, Muhammad Mohan.

“Jadi proses siasatan akan jadi lebih rumit dan kemungkinan besar penjenayah tidak boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Perluaskan perlindungan

Azalina ketika menjawab pertanyaan Kok kelmarin menarik perhatian kepada amalan di negara lain, yang membenarkan pemberi maklumat membuat pendedahan kepada umum jika agensi penguatkuasa tidak beri maklum balas dalam tempoh 90 hari.

Jais menyarankan Akta 711 ditambah baik dengan memperluaskan perlindungan kepada pemberi maklumat yang terpaksa mendedahkan maklumat kepada umum sekirannya mereka telah menggunakan saluran rasmi tetapi tiada tindakan diambil dalam tempoh munasabah.

“Perlu ada mekanisme semakan bebas bagi menilai sama ada sesuatu pendedahan awam boleh diberikan perlindungan berdasarkan keadaan tertentu,” katanya.

Agensi penguatkuasaan juga perlu mempertingkatkan ketelusan, kecekapan, dan keberkesanan dalam menangani laporan pemberi maklumat bagi mengelakkan keperluan pendedahan awam.

“Sebuah badan pemantau bebas wajar diwujudkan bagi memastikan setiap laporan ditangani dengan serius dan tidak diabaikan,” katanya.

Tajuk kecil: Pertimbang semula pengecualian

Bagaimanapun, CEO Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme, Pushpan Murugiah, menggesa kerajaan pertimbang semula pengecualian, dengan mengambil kira gambaran penuh sesuatu keadaan.

Lagipun, katanya, saluran yang dipilih seseorang pemberi maklumat tidak relevan dalam menilai kebolehpercayaan maklumat tersebut.

“Apakah perbezaan pendedahan kelakuan tidak wajar yang dibuat kepada agensi penguatkuasaan atau kepada umum? Dalam kedua-dua situasi, siasatan lanjut masih perlu dijalankan demi mendapat tahu sama ada pendedahan tersebut berasas atau tidak.

“Adakah pendedahan kepada umum tidak berpotensi memberikan maklumat mengenai sebarang kelakuan tidak wajar?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.