Lindung pemberi maklumat terkait salah laku, kata C4

Lindung pemberi maklumat terkait salah laku, kata C4

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme berkata melindungi mereka yang 'bersih sepenuhnya' sahaja tidak realistik.

bribe
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata rang undang-undang pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dijangka dibentang pada Mac atau April.
PETALING JAYA:
Pemberi maklumat terlibat amalan rasuah perlu dilindungi susulan rancangan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, kata kumpulan antirasuah.

Memetik kes dikatakan melibatkan pemberi maklumat di Sabah, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) maklum ketegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa perlindungan pemberi maklumat khusus kepada mereka yang “bersih”, dan tidak dapat diperluas kepada mereka yang melakukan kesalahan.

Namun, C4 berkata, melindungi mereka bersih sepenuhnya tidak realistik.

“Ia tidak mengambil kira kemungkinan satu-satunya akses kepada maklumat bagi salah laku adalah daripada mereka yang turut terlibat kelakuan itu sendiri, terutama dalam kes rasuh yang secara umumnya dibuat sulit dan hanya sedikit sahaja kemungkinan ia didedah atau dikesan pihak luar,” katanya dalam kenyataan.

C4 berkata, kebenaran maklumat bagi pendedahan salah laku tidak bergantung kepada siapa mendedahkannya.

Katanya, pendedahan awam tidak kurang penting berbanding laporan dibuat kepada agensi penguat kuasa.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berkata rang undang-undang pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dijangka dibentang di Parlimen, pada Mac atau April.

Azam berkata, namun pindaan berkenaan tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.

C4 juga berkata, rang undang-undang tersebut memerlukan skop saluran pendedahan diperluas.

Katanya, ketika ini, ada sekatan diletakkan ke atas saluran pendedahan dan pendedahan kepada pihak ketiga, selain peraturan tanpa kompromi berkisar pembatalan perlindungan, yang menghalang pemberi maklumat berpotensi tampil.

C4 merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, di Dewan Rakyat minggu ini, bahawa pemberi maklumat yang membuat pendedahan awam tanpa merujuk kepada agensi penguat kuasa tidak dilindungi akta tersebut.

Katanya, mukadimah Akta 711 menyebut ia merupakan akta “menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain”.

Bagi mencapai matlamat berkenaan, C4 berkata perlu dipermudahkan prosedur pelaporan pemberi maklumat semudah mungkin.

Persatuan itu juga menyebut agensi pemantau selain SPRM, seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Suhakam diberi kuasa memulakan inkuiri tanpa penerimaan aduan formal.

“Jadi, kenapa diletakkan batasan sedemikian di sini? Penekanan untuk penggunaan ‘saluran betul’ hanya berfungsi mencairkan keberkesanan keseluruhan mekanisme,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.