Tiada rancangan lindungi pemberi maklumat buat pendedahan sebelum lapor

Tiada rancangan lindungi pemberi maklumat buat pendedahan sebelum lapor

Menteri reformasi undang-undang dan institusi kata pemberi maklumat mesti lapor kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu untuk layak dapat perlindungan.

Kerajaan sedang mengusahakan pindaan untuk menambahbaik akta tersebut, termasuk peruntukan bagi menangani kes yang mana pemberi maklumat berniat baik, kata Menteri Azalina Othman Said. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) tidak menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat kepada orang ramai sebelum melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pemberi maklumat mesti melaporkan maklumat tersebut kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu, untuk layak diberi perlindungan.

“Agensi penguat kuasa akan menilai sama ada maklumat itu dilihat sebagai satu keperluan atau tidak,” katanya.

Azalina menambah kerajaan sedang mengusahakan pindaan untuk menambahbaik akta tersebut, termasuk peruntukan bagi menangani kes yang mana pemberi maklumat berniat baik.

Beliau menarik perhatian kepada amalan di negara lain, yang membenarkan pemberi maklumat membuat pendedahan kepada umum jika agensi penguatkuasa tidak beri maklum balas dalam tempoh 90 hari.

“Di negara lain, jika tiada maklum balas dalam tempoh 90 hari, pemberi maklumat boleh mendedahkan kepada umum untuk memastikan agensi penguatkuasaan menjalankan tugas dan memberi maklum balas kepada laporan itu,” katanya.

“Negara kita belum berada di tahap itu lagi.”

Dalam pada itu, Azalina juga menyatakan ganjaran untuk pemberi maklumat tidak seragam.

Beliau menjawab pertanyaan Teresa Kok (DAP-Seputeh) berhubung video tular melibatkan dakwaan rasuah di Sabah.

Kok bertanya sama ada Akta 711 akan melindungi pemberi maklumat yang mendedahkan kes-kes kepentingan awam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada November mengkritik individu yang dikatakan seorang ‘pemberi maklumat’ yang terlibat dalam pendedahan apa yang didakwa kes rasuah, yang dikaitkan dengan Adun Sabah.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata peguam individu terbabit mengemukakan kepada SPRM rakaman audio 17 saat yang kurang jelas, namun beberapa hari kemudian individu berkenaan kongsi rakaman video berkait dakwaan rasuah itu dengan portal berita Malaysiakini.

Menurut Azam, walaupun peguam itu berkata anak guamnya bersedia memberikan keterangan, beliau mahu SPRM menandatangani perjanjian menyatakan anak guam itu tidak akan disiasat.

Azam berkata SPRM tidak dapat berbuat demikian tanpa maklumat terperinci mengenai salah laku yang dikatakan itu.

Beliau juga berkata saksi digesa membuat laporan rasmi, yang membolehkan dia dilindungi di bawah Akta 711.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.