Cadangan kajian semula undang-undang pemberi maklumat antara tumpuan Dewan Rakyat

Cadangan kajian semula undang-undang pemberi maklumat antara tumpuan Dewan Rakyat

Persoalan itu akan dikemukakan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) selain mahu tahu mengenai keberkesanan melindungi pemberi maklumat dalam kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Dis ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka mengupas isu berkenaan cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan dikemukakan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri selain ingin tahu mengenai keberkesanan langkah melindungi pemberi maklumat dalam kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.

Pada sesi itu juga, Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) meminta penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja yang mencecah 70% dan tindakan kementerian bagi menangani isu tersebut.

Sementara itu, Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) pada sesi soal jawab akan bertanyakan kepada Menteri Kanan Pertahanan tentang sejauh manakah inisiatif berkaitan pertahanan dan keselamatan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 menjamin keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula akan membangkitkan mengenai proses penggubalan satu Akta Halal bagi tujuan penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara.

Selain Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama, sidang Dewan Rakyat hari ini turut tertumpu kepada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat dasar oleh kementerian terlibat.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.