
Beliau berkata RUU itu langkah penting untuk membina kepercayaan rakyat dan menggalakkan penyertaan termaklum dalam demokrasi.
“Kami akan membawa undang-undang ini ke Parlimen pada akhir tahun ini supaya orang ramai boleh meminta kami dipertanggungjawabkan.
“Pembaharuan ini mencerminkan pendekatan menyeluruh dan tekad untuk membina institusi yang kukuh, adil dan telus yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan integriti,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti 2025.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Anwar berkata kerajaan juga dalam proses meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk menyediakan perlindungan yang lebih luas dan bermakna.
“Ini termasuk menghapuskan pengecualian terdahulu yang mengehadkan perlindungan dan menubuhkan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat bebas untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan,” katanya.
Sementara itu, bercakap kepada media selepas persidangan, Azalina berkata kedua-dua RUU itu telah digubal.
“Kami harap (dapat dibentangkan) pada sesi akan datang (Oktober), sesi kali ini tidak dapat dilakukan. Semuanya berjalan lancar,” katanya.
Pada Julai tahun lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran dilaporkan berkata RUU Kebebasan Maklumat akan memberikan akses kepada maklumat berkaitan mana-mana kementerian atau agensi kerajaan untuk semua rakyat.
Bagaimanapun, beliau berkata maklumat mengenai data peribadi, perkara yang mengancam keselamatan negara, pertahanan dan hubungan diplomatik akan dikecualikan.