Parlimen bukan tempat bertegang urat, maki hamun, titah Agong

Parlimen bukan tempat bertegang urat, maki hamun, titah Agong

Sultan Ibrahim bertitah wakil rakyat henti bermain politik dalam Parlimen dan tidak menjadi ejen perpecahan rakyat.

SULTAN IBRAHIM
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah agar wakil rakyat menjadikan Parlimen membahaskan agenda kepentingan rakyat, bukan tempat menabur fitnah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Parlimen bukan tempat bertegang urat, memaki hamun, atau menabur fitnah.

Sultan Ibrahim bertitah, Parlimen merupakan dewan mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

“Ahli-ahli berhormat hendaklah jadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat.

“Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Sultan Ibrahim semasa merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat.

Mengikut takwim di laman web rasmi Parlimen, selain pembentangan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung 18 hari, turut menyaksikan Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Feb.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim memuji Ahli-ahli Parlimen yang telah mengubah sikap kepada lebih sopan.

Namun, baginda bertitah terdapat juga segelintir sukar membuang tabiat lama dan menasihatkan mereka perlu sedar menjaga tingkah laku masing-masing.

“Parlimen adalah dewan perhimpunan paling utama dalam sistem negara kita.

“Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal dan medan semak dan imbang ke atas pentadbiran negara,” katanya.

Sementara itu, Sultan Ibrahim mengingatkan masyarakat berhati-hati tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian dan pencurian identiti.

Baginda juga bimbang budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuh, dan berpecah belah.

“Oleh itu, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul dan dipercayai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.