
Menurut LLSB, saman difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dibuat susulan kenyataan fitnah ketua Bersatu Port Dickson itu terhadap anak syarikat Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) itu melibatkan projek Selangor Maritime Gateway.
“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa berdasarkan cadangan penyelesaian luar mahkamah oleh Chegubard, pihak-pihak dalam saman tersebut telah mencapai penyelesaian secara baik.
“Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Chegubard mengakui tuduhan tersebut tidak berasas dan menyatakan kekesalan terhadap kesan kenyataan serta tuduhan fitnah beliau yang telah menjejaskan reputasi serta menyebabkan tekanan dan kerugian kepada LLSB,” katanya dalam kenyataan.
LLSB berkata demikian merujuk kepada saman fitnah difailkan pada 8 Ogos 2023 susulan kenyataan dibuat Chegubard dalam beberapa penerbitan dan hantaran di platform media sosial dan dalam talian lain.
Sementara itu, LLSB berkata Chegubard mengambil tanggungjawab penuh atas perkara itu dan juga telah menarik balik semua kenyataan dibuat dan diterbitkan di platform media sosial.
LLSB berkata, Chegubard juga mengesahkan kenyataan dibuat itu tanpa niat jahat dan berdasarkan maklumat salah serta tidak lengkap.
“Chegubard turut memberi jaminan bahawa beliau akan mengelak daripada membuat sebarang kenyataan dan penerbitan palsu atau berunsur fitnah pada masa akan datang berkaitan perkara ini terhadap LLSB dan Projek Selangor Maritime Gateway.
“Permohonan maaf ini dibuat tanpa sebarang syarat sebagai pengakuan tanggungjawab beliau serta komitmen untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan,” katanya.