Pemimpin Bersatu tuntut RM1 juta daripada rakan separti atas video FB

Pemimpin Bersatu tuntut RM1 juta daripada rakan separti atas video FB

R Sri Sanjeevan tuntut Chegubard mohon maaf atas dakwaan beliau banyak 'belanja wang' untuk pengaruhi presiden parti, Muhyiddin Yassin.

R Sri Sanjeevan n Badrul Hisham Shaharin che gubard
R Sri Sanjeevan (kiri) berkata, Badrul Hisham Shaharin guna gelaran yang menghina terhadapnya dalam sebuah video dimuat naik di Facebook.
PETALING JAYA:
Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan menuntut rakan separtinya, Badrul Hisham Shaharin, agar membuat permohonan maaf berhubung kenyataan dalam sebuah video siar langsung di Facebook yang didakwa memfitnahnya.

Menerusi surat tuntutan bertarikh 28 Okt, Sanjeevan mendakwa Badrul, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, memfitnahnya dalam video siar langsung yang dimuat naik pada 12 Okt.

Sanjeevan berkata, Badrul menggunakan gelaran yang menghina terhadapnya selain menuduhnya ‘membelanjakan banyak wang’ untuk ‘pejabat’ Muhyiddin Yassin dengan harapan untuk mempengaruhi presiden Bersatu itu.

Beliau menuntut ketua Bersatu Port Dickson itu menarik balik video berkenaan, mengeluarkan permohonan maaf dalam tempoh 48 jam dan membayar ganti rugi RM1 juta atas kerosakan reputasi.

Katanya, beliau akan memfailkan saman jika Badrul gagal mematuhi tuntutan tersebut.

“Anak guam kami mengalami kerosakan dan kecederaan yang tidak dapat dipulihkan terhadap kredibiliti, integriti dan reputasinya,” menurut surat tuntutan yang dihantar oleh firma guaman Preakas & Partners.

FMT telah menghubungi Badrul untuk mendapatkan komen.

Chegubard dipanggil lembaga disiplin Bersatu

Dalam perkembangan berasingan, Badrul berkata, beliau telah dipanggil menghadap lembaga disiplin Bersatu, dipercayai berhubung kritikan terhadap Sanjeevan.

Beliau sebelum ini mengkritik Sanjeevan kerana menganjurkan satu acara bersama Muhyiddin di Port Dickson tanpa pengetahuan kepimpinan bahagian tempatan.

Katanya, beliau menerima mesej WhatsApp pada Ahad daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai setiausaha jawatankuasa disiplin, yang memintanya menghadiri sesi pendengaran pada Khamis.

Badrul berkata, beliau meminta pendengaran itu ditangguhkan kerana mempunyai kes hasutan di mahkamah pada hari sama, selain sepatutnya sibuk membantu kempen pilihan raya parti di Sabah.

Beliau juga mendakwa ada pihak tertentu dalam parti cuba menggantikannya dalam Bersatu dan laporan disiplin yang dibuat oleh ahli akar umbi tidak diendahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.