Kurangnya buruh berkemahiran rendah mungkin halang pelaburan asing, kata pakar

Kurangnya buruh berkemahiran rendah mungkin halang pelaburan asing, kata pakar

Carmelo Ferlito berkata Malaysia mempunyai banyak bakat tetapi pekerja kolar biru tidak mencukupi.

pekerja asing
Malaysia boleh menangani kekurangan pekerja kolar biru dengan memanfaatkan jawatan pengerusi Asean untuk membincangkan penciptaan pasaran buruh terbuka di kalangan negara anggota, kata pakar ekonomi Carmelo Ferlito. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kekurangan tenaga kerja berkemahiran rendah boleh menyebabkan Malaysia bergelut dalam mengekalkan pelaburan asing, menurut seorang pakar ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito, berkata pelabur asing tertarik ke Malaysia disebabkan penguasaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan ramai rakyat tempatan, infrastrukturnya yang baik dan rangka kerja pengawalseliaan yang mudah.

Bagaimanapun, Ferlito berkata Malaysia mempunyai kekurangan pekerja kolar biru, menyebabkan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing untuk mengambil pekerjaan sedemikian.

Pembekuan bagi pengambilan pekerja asing ketika ini hanya memburukkan lagi isu kerana rakyat Malaysia tidak melakukan pekerjaan yang biasa dilakukan oleh migran.

Carmelo Ferlito
Carmelo Ferlito.

Ini, katanya, akan menyekat pelaburan daripada firma asing yang mengharapkan kos operasi yang lebih rendah apabila melabur di Malaysia.

“Kekurangan bakat atau buruh mahir tidak menjadi masalah jika dibandingkan dengan kekurangan buruh kolar biru atau tidak mahir. Malaysia mempunyai banyak bakat tetapi kekurangan pekerja kolar biru atau tidak mahir,” katanya kepada FMT.

Untuk menanganinya, Ferlito mencadangkan Malaysia memanfaatkan jawatan pengerusi Asean untuk membincangkan kemungkinan untuk menyediakan pasaran buruh terbuka di kalangan negara anggota.

“Dengan pasaran buruh Asean yang terbuka, lebihan bakat di sini boleh mencari peluang yang lebih baik di luar negara manakala Malaysia akan mendapat akses kepada buruh asing, yang mendapat permintaan tinggi.

“Malaysia adalah sebuah negara kecil dan tidak boleh secara realistiknya berfikir untuk menghasilkan pekerjaan pengurusan untuk semua orang,” tambahnya.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie, bagaimanapun, berkata Malaysia secara amnya telah melakukan yang terbaik dalam menangani kekurangan buruh tetapi perlu meningkatkan pengeluaran buruh mahir.

Lee Heng Guie
Lee Heng Guie.

“Cabaran ini bukan hanya di Malaysia. Perkara pertama yang pelabur ingin tahu apabila mereka melabur di mana-mana negara ialah sama ada mereka mempunyai tenaga mencukupi (buruh),” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia telah meletakkan asas untuk menarik dan mengekalkan pelaburan asing melalui penyertaan negara dalam pelbagai forum global, pakatan dan mesyuarat, tetapi mesti terus mempertingkatkannya.

“Semoga semua perbincangan ini akan mencetus dan membuka peluang baharu di Malaysia supaya pelabur akan datang untuk meneroka dan mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia, berikutan ketidaktentuan geopolitik semasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.