
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Pulau Pinang, Abrar Sadiq, berkata politik tidak harus menjadi alat untuk menjatuhkan lawan dengan fitnah, tetapi untuk membina masyarakat harmoni dan adil.
Amanah ditubuhkan pada 2015 selepas kepimpinan PAS berpecah kepada dua kumpulan.

“Sebagai parti yang membawa prinsip sederhana (wasatiyyah), Amanah menyeru semua ahli PAS yang kecewa dengan budaya fitnah dan politik tidak beretika untuk menyertai kami.
“Hentikan budaya fitnah dan caci maki, dan bina Malaysia yang bersatu padu berlandaskan nilai Islam yang rahmatan lil-‘alamin,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi video tular di media sosial, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Yeoh, konglomerat YTL Corporation Berhad.
Yeoh kemudian membidas tuduhan itu dan memaklumkan akan menyerahkan notis tuntutan kepada Razman, walaupun Adun Gunong Semanggol sudah memohon maaf.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad daripada PAS terpaksa membayar RM750,000 kerana bersalah memfitnah veteran DAP Lim Kit Siang, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Seorang penganalisis dilaporkan FMT berkata, keceluparan segelintir pemimpin PAS mengeluarkan fakta tanpa asas, boleh menyebabkan rakyat ‘mual’ dan hilang kepercayaan.
Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata, insiden membabitkan beberapa pemimpin PAS itu menunjukkan mereka tidak mengambil iktibar.