
Betullah Menteri Besar Abu Bakar Hamzah sudah beri jaminan sidang DUN Perlis akan diadakan sebelum 8 Jun ini. Kata Abu Bakar untuk memastikan kerajaan negeri memperincikan persediaan pentadbiran agar persidangan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Selama ini tak teratur ke? Dikatakan perlu diperincikan memandangkan Abu Bakar baharu memegang jawatan menteri besar selepas angkat sumpah jawatan pada 28 Dis tahun lalu. OK saya terima alasan diberi.
Sidang DUN sepatutnya berlangsung dari hari ini (21 April) hingga Khamis ini (23 April) namun apabila surat pemakluman penangguhan dikeluarkan Jumaat lalu pelbagai spekulasi tercetus. Beberapa penganalisis tampil dengan pendapat masing-masing. Antaranya Sivamurugan Pandian yang dipetik Bernama berkata dalam politik apabila sidang DUN ditangguh tanpa justifikasi jelas ia mudah ditafsirkan sebagai tanda ketidakstabilan atau kegoyahan pentadbiran.
Lagi-lagi Abu Bakar daripada Bersatu diangkat sebagai menteri besar berikutan krisis politik akhir tahun lalu at the expense of Shukri Ramli daripada PAS. Tidak perlu saya ulangi apa yang berlaku, cukup sekadar menyimpulkan Abu Bakar bersama tiga ADUN PAS antara yang menarik balik sokongan ke atas Shukri, memaksa beliau melepaskan jawatan menteri besar.
Sejak itu hubungan PAS dengan Bersatu dikatakan tidak semanis harumanis yang terkenal di Perlis. Persoalan sekarang macam mana hubungan muktahir PAS-Bersatu?
Lantas apabila sidang DUN ditangguhkan, Sivamurugan kata apa yang beliau kata yang disebut tadi. Kata beliau lagi, “jika PAS atau mana-mana pihak dilihat mempunyai kekuatan membawa usul sedemikian (yakni usul tidak percaya) maka persepsi bahawa menteri besar bimbang kehilangan sokongan pasti timbul.”
Sivamurugan was being diplomatic, I would say. Jelas tidak ada ‘mana-mana pihak’ seperti disebut beliau tadi. Dalam konteks permainan ini the players are only PAS and Bersatu with PAS being the big player.
Oleh itu penyertaan Abu Bakar pada program ‘Konvoi bersama 4 MB’ 4 April lalu di Terengganu pada hemat saya tidak membawa makna kerana sebelum ini pemerhati politik melihat kehadiran beliau bersama tiga menteri besar PAS membuktikan PAS mahu lupakan krisis Perlis.
Jadi bolehkah dikata PAS masih ingat atau tidak mahu lupa krisis Perlis Disember lalu? Persoalan penting yang dilontar ketua penyelidik llham Centre Yusri Ibrahim ialah apa arahan PAS Pusat kepada PAS Perlis? Bagaimana Ahmad Samsuri Mokhtar selaku pengerusi baharu Perikatan Nasional akan mengendalikan isu ini, atau ‘krisis’ jika itu istilah lebih tepat digunakan untuk menggambarkan situasi di Perlis.
Kata Yusri, “melihat kepada riak nampaknya risiko bergelombang di Perlis. Jika gagal ditenangkan PRN awal bakal jadi salah satu pilihan di Perlis.”
Perlu dinyatakan pendapat Yusri itu disuarakan di Facebook beberapa hari lalu iaitu sebelum MB Perlis memberi jaminan sidang DUN akan diadakan sebelum 8 Jun. Tak tahu saya sama ada jaminan itu boleh dianggap menenangkan keadaan.
Perlis negeri kecil. DUN ada hanya 15 kawasan. PAS dominan dengan enam ADUN dan seorang speaker. Bersatu ada lima ADUN manakala Pakatan Harapan seorang. Meskipun kecil, kata Yusri, perkembangan terbaru di Perlis akan memberi banyak petunjuk politik nasional.
Bagi Abu Bakar tidak timbul isu kelemahan kepimpinan atau usaha mengelak tekanan politik menerusi penangguhan sidang DUN. “Bagi saya dalam politik kami tidak pernah kenal erti takut,” kata beliau dengan berani.
Saya percaya beliau tahu tiada gunanya rasa takut kerana apa yang bimbang berlaku akan berlaku juga sama ada sidang DUN diadakan hari ini esok atau lusa, jika benar PAS mahu melakukannya.
Kata Yusri, “ada dua musim serentak di Perlis sekarang. Harum manis mangga, masam manis politik mencatur kuasa.”
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.