Tiada komplot undi tak percaya terhadap MB Perlis, kata Shahidan

Tiada komplot undi tak percaya terhadap MB Perlis, kata Shahidan

Pengerusi PN Perlis berkata hubungan PAS serta Bersatu dalam kerajaan negeri kekal akrab dan PAS tidak perlu guna usul undi tidak percaya untuk tukar pentadbiran semasa.

Shahidan Kassim
Pengerusi PN Perlis Shahidan Kassim percaya penangguhan sidang DUN dibuat mengikut lunas undang-undang dan peraturan, bukannya kerana Menteri Besar Abu Bakar Hamzah takut dijatuhkan melalui undi tidak percaya.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) Perlis menolak dakwaan wujud komplot usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Pengerusinya, Shahidan Kassim, berkata hubungan PAS dan Bersatu dalam kerajaan negeri kekal akrab, selain PAS Pusat sudah menyuarakan pendirian untuk menyokong pentadbiran sedia ada sehingga PRU16.

Tegasnya, PAS tidak perlu menggunakan usul undi tidak percaya untuk menukar pentadbiran semasa kerana mereka menguasai majoriti kerusi DUN.

“Semua ini adalah tahyul yang dicatatkan (dijaja) pelbagai pihak. Buktikan pada saya, memang tidak ada pakatan undi tidak percaya. PAS Pusat sudah buat keputusan untuk menyokong kerajaan ini sehingga pilihan raya.

“Tidak perlu undi tidak percaya. PAS yang majoriti, PAS boleh pergi beritahu (jika mahu ambil alih). Tetapi itu bukan cara PAS. Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpesan kepada saya supaya wujudkan hubungan yang baik dan kita berpegang kepada ketetapan PAS Pusat,” katanya menurut Berita Harian.

Sebelum ini, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah menafikan sidang DUN Perlis yang sepatutnya bermula hari ini hingga 23 April ditangguhkan kerana beliau takut digulingkan.

Jelasnya, keputusan itu bukan di bawah kuasa mutlak menteri besar, sebaliknya ia dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.

Susulan itu, enam wakil rakyat PAS yang diketuai Adun Sanglang Shukri Ramli bersama Adun Santan Muhammad Azmir Azizan, Adun Kayang Asrul Aimran Abd Jalil, Adun Simpang Empat Razali Saad, Adun Mata Ayer Wan Badariah Wan Saad dan Adun Beseri Haziq Asyraf Dun meminta penjelasan berhubung penangguhan itu.

Shahidan percaya penangguhan sidang DUN itu dibuat mengikut lunas undang-undang dan peraturan, bukannya kerana Abu Bakar takut dijatuhkan melalui undi tidak percaya.

Timbalan pesuruhjaya PAS Perlis itu berkata, tindakan enam Adun PAS menuntut penjelasan berhubung penangguhan DUN dibuat atas kapasiti peribadi sebagai wakil rakyat, bukannya pendirian rasmi parti.

“Kita menerima tindakan mereka sekadar ingin mendapatkan penjelasan atas kapasiti itu dan ia sama sekali bukan bertujuan menimbulkan ketidakharmonian dalam kerajaan PN.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.