
Menurutnya, semangat saling menghormati antara parti komponen PN negeri penting bagi mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya berterima kasih atas usaha PN dan juga Jawatankuasa PAS Perlis yang bermesyuarat semalam, yang membuat keputusan mempertahankan kerajaan negeri PN ini kerana kita perlu saling menghormati.
“Bagi saya, saya cukup menghormati keputusan itu demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri ini,” katanya menurut Berita Harian ketika ditemui di Kompleks Seri Putra, Kangar.
Beliau berkata, tarikh baharu sidang DUN Perlis akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Saya harap sidang DUN yang akan kita umumkan dalam beberapa hari lagi berjalan lancar dan tiada sebarang kacau ganggu.”
Sebelum ini, Abu Bakar dilapor menafikan sidang DUN Perlis yang sepatutnya bermula hari ini hingga 23 April ditangguhkan kerana beliau takut digulingkan.
Jelasnya, keputusan itu bukan di bawah kuasa mutlak menteri besar, sebaliknya ia dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.
Susulan itu, Pengerusi PN Perlis, Shahidan Kassim, dilaporkan menolak dakwaan wujud komplot usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar akan dibawa ke sidang DUN akan datang.
Beliau berkata, hubungan PAS dan Bersatu dalam kerajaan negeri kekal akrab, selain PAS Pusat sudah menyuarakan pendirian untuk menyokong pentadbiran sedia ada sehingga PRU16.
Tegasnya, PAS tidak perlu menggunakan usul undi tidak percaya untuk menukar pentadbiran semasa kerana mereka menguasai majoriti kerusi DUN.
Sementara itu, Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis daripada Bersatu berkata, kedudukan PN negeri kekal stabil dengan sasaran untuk menyapu bersih semua kerusi pada PRU16.
“Sekiranya kerajaan PN Perlis mampu kekal stabil dan rakyat merasai faedahnya, maka pada PRU16, kita pasti menang semua kerusi DUN, iaitu 15-0. Kita tidak akan berikan satu kerusi kepada pembangkang, kita boleh ambil habis semua 15 kerusi DUN.”