Fadhlina lega nama bersih usai Zulkifli mohon maaf isu ‘larangan takbir’

Fadhlina lega nama bersih usai Zulkifli mohon maaf isu ‘larangan takbir’

Fadhlina Sidek berkata beliau akan menggunakan kos RM15,000 bagi penyelesaian kes untuk kempen Solidariti Palestin di Jasin.

Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memfailkan saman terhadap Zulkifli Ismail, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai penerbit Harakah dan ketua pengarang ketika itu, Mazlan Jusoh. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meluahkan kesyukuran selepas Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail memohon maaf di Mahkamah Sesyen berhubung kenyataan fitnah dikaitkan dakwaan larangan laungan takbir semasa Minggu Solidariti Palestin di sekolah, tiga tahun lalu.

Fadhlina berkata, beliau hadir ke mahkamah dengan persediaan untuk meneruskan perbicaraan, namun menegaskan perkara paling penting baginya ialah membersihkan nama dan mendapatkan permohonan maaf secara terbuka.

“Yang saya nak dengar perkataan maaf dan saya dapat hari ini perkataan minta maaf itu.

“Apabila dia meminta maaf dan semua kenyataan ditarik balik serta tidak benar, itu sebenarnya kelegaan yang sangat besar dan nama saya telah bersih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah.

Fadhlina turut memaklumkan kos RM15,000 yang diperoleh susulan penyelesaian kes itu akan digunakan sepenuhnya bagi kempen Solidariti Palestin di Jasin.

Terdahulu, Zulkifli yang juga pesuruhjaya PAS Melaka, bersama lidah rasmi parti itu, Harakah, memohon maaf kepada Fadhlina di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Dalam kenyataan permohonan maaf dibacakan di mahkamah, Zulkifli mengakui kenyataan terdahulu mengundang pelbagai tafsiran dan menyebabkan salah faham orang ramai terhadap Fadhlina sehingga menjejaskan nama beliau.

Beliau juga mengakui sekolah sebenarnya dibenarkan melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazilah sepanjang Minggu Solidariti Palestin.

Pada 5 Nov 2023, Zulkifli didakwa membuat kenyataan kementerian melarang laungan ‘takbir’ dan bacaan doa-doa Islam semasa program solidariti untuk Palestin di sekolah seluruh negara.

Kenyataan itu dibuat dalam satu acara berasingan dan kemudian diterbitkan oleh Harakahdaily serta akhbar Harakah keesokan harinya.

Susulan itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memfailkan saman terhadap Zulkifli, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai penerbit Harakah, dan ketua pengarang ketika itu, Mazlan Jusoh.

Zulkifli turut memberitahu mahkamah, dia dan Harakah setuju menyelesaikan pertikaian itu memandangkan ketika ini terdapat isu berkepentingan nasional yang lebih memerlukan perhatian.

Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi, menerbitkan semula, menyebarkan atau mengulas kenyataan berkenaan dan membuat kenyataan lain membawa maksud serupa dalam apa jua bentuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.