8 keutamaan tahunan sektor tenaga Asean 2025 dipersetujui

8 keutamaan tahunan sektor tenaga Asean 2025 dipersetujui

Lapan agenda itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Tenaga Asean 2025 dihoskan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dari 22 hingga 24 Jan.

Ketua Setiausaha Petra Mad Zaid Mohd Karli bersama peserta Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Tenaga Asean 2025 berlangsung di Langkawi pada 22 hingga 22 Jan. (Gambar PETRA)
PETALING JAYA:
Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Tenaga Asean 2025 bersetuju dengan lapan Cadangan Keutamaan Tahunan untuk sektor tenaga bagi Asia Tenggara pada tahun ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memaklumkan cadangan dipersetujui pada mesyuarat memasuki hari kemuncak semalam merangkumi agenda Rangkaian Kuasa Asean (APG).

Menurutnya, agenda itu seperti menandatangani dokumen memorandum persefahaman dipertingkatkan (Enhanced MoU) dan terma rujukan (TOR) untuk rangka kerja pembinaan kabel kuasa bawah laut serta mekanisme pembiayaan APG.

Cadangan lain dipersetujui oleh wakil-wakil pegawai kanan tenaga dari Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Lao PDR, Myanmar, Singapura, Thailand dan VietNam manakala Timor Leste sebagai pemerhati adalah seperti berikut:

  • Menandatangani Perjanjian Jaminan Petroleum Asean (APSA)
  • Peluncuran Pangkalan Data Kecekapan Tenaga Asean dan Platform Pelaburan Asean (pembangunan)
  • Memuktamadkan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu (RE LTR)
  • Pembangunan rangka kerja Pensijilan Tenaga Boleh Baharu (REC) Asean
  • Peluncuran dokumen dasar mengenai Pelan Tindakan Asean untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026-2030
  • Usaha awal pembangunan Rangka Kerja bagi Pelaksanaan Loji Janakuasa Nuklear

Mesyuarat itu turut menerima dua output Keberhasilan Utama Ekonomi berkaitan tenaga bagi 2025 iaitu pemeteraian dokumen MoU yang dipertingkatkan untuk APG dan dokumen Pelan Tindakan Asean untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026-2030.

Petra berkata, dokumen terbabit adalah penting untuk memupuk kerjasama berterusan dalam kalangan negara anggota Asean bagi memajukan sektor tenaga, sekali gus memastikan bekalan tenaga yang terjamin dan mampan untuk rantau ini.

Mesyuarat juga telah bersetuju dengan cadangan dokumen MoU yang dipertingkatkan untuk APG dan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Jaminan Petroleum (New APSA).

“Mesyuarat juga telah membincangkan draf APSA diikuti dengan pembentangan oleh Pusat Tenaga Asean mengenai terma rujukan untuk rangka kerja pembangunan kabel tenaga bawah laut, yang kedua-duanya akan membentuk struktur sokongan penting bagi aspirasi Grid Kuasa Asean,” kata Petra.

Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Asean 2025 bertemakan ‘Powering Asean: Bridging Boundaries, Building Prosperity’ itu memfokuskan keperluan memperkasakan agenda tenaga dengan merapatkan lagi jurang antara negara Asean untuk membina kemakmuran dan mencapai kemajuan di rantau ini.

Mesyuarat itu telah dihoskan oleh Petra dari 22 hingga 24 Jan di Langkawi, Kedah.

Petra juga akan mempengerusikan dua lagi mesyuarat utama sektor tenaga iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga di Kuching, Sarawak pada 16 hingga 20 Jun dan Mesyuarat Menteri Tenaga Asean di Kuala Lumpur pada 22 hingga 26 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.