
Menteri pelancongan, seni dan budaya itu berkata, pelbagai projek yang dapat menyokong pemulihan penuh sektor pelancongan yang sebelum ini terjejas akibat wabak Covid-19 akan dilaksanakan sepanjang tempoh itu.
“Forum Pelancongan Dunia dan Asean juga akan berlangsung di Malaysia tahun depan. Kementerian telah pun mula membuat persiapan bagi acara-acara utama ini,” katanya dalam kenyataan.
Tiong berkata, Malaysia telah menerima hak penganjuran acara tersebut secara rasmi ketika lawatannya ke Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan menghadiri sambutan Hari Pelancongan Sedunia di Georgia bulan lepas.
Menurutnya, beliau juga bertemu rakan sejawatnya dari Bahrain dan Uzbekistan buat kali kedua pada sambutan itu untuk membincangkan kerjasama pelancongan dan budaya.
“Uzbekistan menyatakan minat menandatangani perjanjian dengan Malaysia bagi mempromosikan Melaka dan kawasan sekitarnya kepada rakyatnya sempena Hari Pelancongan Sedunia di Melaka tahun depan.
“Bahrain bersetuju menubuhkan satu kumpulan kerja bersama Malaysia bagi pelaksanaan projek masa hadapan,” katanya.
Ini termasuk membangunkan pasaran pelancongan mesra Muslim di Bahrain, selain meminta bantuan Malaysia untuk menghubungkan negara itu dengan pasaran Muslim di China, tambahnya.
“Inisiatif pelancongan mesra Muslim yang melibatkan Malaysia, Bahrain dan China boleh menjadi model bagi kerjasama tiga hala, seiring dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata, peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean akan memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Asean-GCC dan China buat julung kalinya.
Katanya, penganjuran lebih 270 mesyuarat dan kegiatan melibatkan semua negeri diyakini dapat menjana pendapatan usahawan khususnya penyedia khidmat logistik, perhotelan, pelancongan termasuk jualan kraf tangan.