
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mengumumkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 600kWj sehingga 1,500 kWj kekal.

Kerajaan turut mengurangkan bil elektrik di antara 1% hingga 4% bagi pengguna bukan domestik membabitkan operator air, pembentungan, voltan rendah, tarif pertanian spesifik, lampu jalan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain.
Menurutnya, kadar operator air dan pembetungan selain pengguna 1.7 juta pengguna voltan rendah (tarif B dan D) dan pertanian (H, H1 dan H2) yang diturunkan daripada RM3.70 sen/kWj kepada RM2.70, dijangka mengurangkan bil di antara RM2 hingga RM429,000.
Sementara itu, penurunan pengurangan tarif bagi bil lampu jalan di bawah PBT akan mengurangkan bil di antara 38 sen sehingga RM1,526 sebulan.
Bagi tarif pengguna bukan domestik lain-lain yang diturunkan daripada 10 sen kepada 9 sen pula dijangka menurunkan bil mereka di antara RM2 sehingga RM192,000.
“Langkah itu sebagai usaha kerajaan mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran di samping menyokong usaha untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia.
“Kerajaan masih menyediakan subsidi elektrik berjumlah RM2.192 bilion untuk pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember 2024,” katanya.
Dalam pada itu, Petra berkata kerajaan terus kekal komited memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar melibatkan peruntukan sebanyak RM55 juta.
“Walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember 2024, pengguna disaran untuk sentiasa menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga,” katanya.
Tambahnya, kerajaan berharap pemberian subsidi elektrik itu dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan.