
Penunjuk perasaan, yang rata-ratanya kelihatan muda, berarak dari Sogo KL, dengan pakaian serba hitam.
Mereka melaungkan ‘lawan rasuah’ sambil membawa pelbagai jenis plakad dan kain rentang, dengan diperhatikan polis yang memudahkan acara dengan mengawal lalu lintas.
Selepas menempuh perjalanan sejauh 1.1km, penunjuk perasaan tiba di Dataran Merdeka pada kira-kira 3.20 petang dan berkumpul di jalan bersebelahan padang bersejarah itu.

Beberapa individu yang berucap dari atas sebuah trak menggesa kerajaan mengambil pendirian lebih tegas terhadap rasuah.
Semalam, mengulas kebimbangan berkait kelulusan bagi himpunan hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian perhimpunan boleh diteruskan tanpa masalah.
Sementara itu, polis memaklumkan bahawa himpunan hari ini berlangsung dengan tenang, lapor Bernama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, kata anggota polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka.