
Timbalan Naib Canselor UM, Zamri Radzi, berkata keprihatinan terhadap isu masyarakat menjadi sebahagian pembentukan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa.
“Namun demikian, kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keselamatan diri serta kesejahteraan semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
“Dalam musim peperiksaan ini, pihak universiti menggalakkan para pelajar agar membuat pertimbangan sewajarnya terhadap komitmen akademik masing-masing serta aspek keselamatan diri sebelum menyertai sebarang aktiviti luar kampus.”
Meskipun begitu, Zamri menyuarakan keyakinan terhadap mahasiswanya yang memiliki kematangan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan bertanggungjawab.
Katanya, justeru, pihak universiti kekal komited menyediakan saluran dialog dan ruang perbincangan teratur di peringkat kampus bagi membolehkan pandangan dan kebimbangan disuarakan secara konstruktif, beradab, dan berlandaskan nilai intelektual universiti.
Beliau menekankan kumpulan dikaitkan dengan perarakan itu — Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM) — bukan persatuan pelajar berdaftar dan tidak mewakili universiti mahupun keseluruhan mahasiswa UM.
Lebih 30 kumpulan mahasiswa, termasuk Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, merancang berarak dari Taman Tugu ke Parlimen, pada 9 pagi, 9 Feb.
Tindakan ini menyusul selepas Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan pihaknya tidak mempunyai rancangan memansuhkan Auku secara keseluruhannya, namun menegaskan akta itu telah dipinda lapan kali bagi tujuan penambahbaikan.
Auku digubal pada April 1971 dan berada sebahagiannya di bawah kuasa perundangan Kementerian Pendidikan Tinggi. Akta ini memperuntuk penubuhan, penyelenggaraan, dan pentadbiran universiti serta kolej universiti awam.
Pada 1975, ia telah dipinda bagi memberikan kawalan penuh kepada kerajaan terhadap universiti, terutamanya dalam pelantikan naib canselor yang ditugaskan untuk melantik dekan, timbalan dekan, dan ketua institut, menggantikan sistem pilihan raya demokratik dalam kalangan ahli akademik.