Saksi ‘yakin’ cek RM600,000 dikeluarkan Najib adalah wang sendiri

Saksi ‘yakin’ cek RM600,000 dikeluarkan Najib adalah wang sendiri

Presiden Putra Ibrahim Ali berkata, beliau tidak tahu dan tidak menyoal sumber wang bagi cek yang dikeluarkan kepadanya pada 2015.

Saksi memberitahu mahkamah hari ini, Najib Razak mengeluarkan cek bernilai RM600,000 kepadanya pada Mei 2015. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali memberitahu Mahkamah Tinggi beliau sangat yakin cek RM600,000 yang diterimanya daripada Najib Razak ialah wang peribadinya, bukan milik anak syarikat SRC International Sdn Bhd.

Ibrahim, 74, berkata Najib mengeluarkan cek itu pada Mei 2015 dan ketika itu, beliau tidak tahu sumber wang tersebut selain tidak menyoalnya kerana Najib perdana menteri dan presiden Umno.

“Setelah saya kalah dalam PRU13 pada 2013, saya hanya berdiam diri dan kecewa kerana telah banyak mengeluarkan belanja sendiri semasa menjadi Ahli Parlimen bebas selepas PRU 12 dan semasa bertanding sebagai calon bebas pada PRU13,” katanya.

“Selepas hampir dua tahun, saya telah memohon untuk bertemu Najib, dan temu janji tersebut ditetapkan pada 4 Mei 2015 di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Ketika perjumpaan itu, saya meluahkan kepadanya mengenai pengorbanan saya dan menjadi Ahli Parlimen mesra Barisan Nasional (BN) selepas kemenangan saya pada PRU12.”

Saksi keempat SRC itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Umno selaku peguam pada perbicaraan kes saman yang difailkan oleh SRC dan dua anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd, terhadap Umno dan Umno Selangor pada Mei 2021.

Menurut Ibrahim, pada pertemuan itu, beliau memaklumkan kepada Najib, walaupun menerima bantuan projek-projek kecil daripada kerajaan pusat, beliau mengeluarkan belanja sendiri bagi menampung program serta kegiatan di Parlimen Pasir Mas, termasuk bantuan pendidikan, kebajikan, banjir selain melaksanakan pelbagai projek prasarana.

“Begitu juga semasa bertanding pada PRU13, saya tidak mempunyai cukup perbelanjaan dan terpaksa menggunakan kad kredit untuk membiayai program kebajikan rakyat,” kata Ibrahim.

Ibrahim berkata, setelah mendengar rintihannya, Najib mengangguk-angguk sebagai tanda simpati dan berkata, ‘saya bantulah setakat apa yang boleh’.

“Beliau (Najib) kemudian mengeluarkan sekeping cek bernilai RM600,000 atas nama saya. Saya menganggap ini sebagai sumbangan daripada perdana menteri untuk mengganti atau membayar balik apa-apa perbelanjaan yang saya telah keluarkan dan juga untuk menyelesaikan hutang-hutang saya,” katanya.

Beliau hanya mengetahui sumber wang itu sekitar 2021 melalui laporan The Edge, tambahnya.

Mohamed Shahrul Fazli: Datuk, sekarang datuk tahu bahawa duit itu duit kotor dan milik SRC …. bolehkah Datuk pulangkan duit itu kepada SRC?

Ibrahim: Macam mana saya nak pulangkan, saya dah habis gunakan duit itu. Ketika itu, saya anggap duit itu daripada Najib sendiri.

“Najib tidak bertindak jujur terhadap saya dengan memberikan gambaran kepada saya bahawa cek tersebut berasal dari akaunnya sendiri atau tabung Umno dan beliau mempunyai kuasa penuh untuk mengeluarkan cek tersebut.

“Beliau sengaja mengeluarkan cek dari akaun yang dikhaskan untuk tujuan CSR kepada saya secara tidak sah, dengan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa wang yang diberikan kepada saya bukanlah untuk tujuan CSR,” katanya menambah, Najib sedar bahawa beliau telah melakukan pecah amanah dengan menyelewengkan wang berjumlah RM600,000 milik syarikat itu.

Dalam saman terhadap Umno, plaintif menuntut RM16 juta, yang didakwa telah dipindahkan secara salah kepada parti politik itu, dengan menegaskan bahawa Umno tidak mempunyai asas untuk menerima dana itu.

Saman kedua melibatkan tuntutan RM3.5 juta terhadap Umno Selangor, yang juga didakwa telah menerima dana tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 7 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.