
Ia susulan kenyataan Shikh Mohd Farkhann, mendakwa dirinya bekas ketua Muda Kluang, semalam berkata bahagian itu tidak lagi berfungsi selepas kira-kira 100 ahlinya “meneruskan perjuangan” bersama Pemuda Umno.
Setiausaha Agung Muda, Ainie Haziqah, berkata semakan sistem keahlian parti mendapati bahagian Kluang tidak pernah didaftarkan, apatah lagi mampu mempunyai ahli seramai itu.
“Melalui semakan sistem keahlian Muda, bahagian Kluang sama sekali tidak pernah ditubuhkan.
“Maka, berita yang disiarkan tersebut adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Shikh dilaporkan Berita Harian sebagai berkata, mereka menyertai Umno kerana parti itu sangat inklusif, berlapang dada menerima muka baharu dan ikhlas dalam perjuangannya.
Beliau turut mendakwa Muda bakal berdepan kesukaran dalam PRN Johor disebabkan persepsi pengundi muda melihat parti itu kini hilang arah dan pendirian.
Ainie mendedahkan Shikh tidak pernah berdaftar sebagai ahli Muda secara rasmi atau membayar yuran keahlian.
“Walaupun Shikh pernah dicadangkan untuk menubuhkan bahagian Kluang sebelum ini, proses itu tidak pernah dimuktamadkan,” katanya sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada Shikh atas keputusannya menyertai Umno.
Tegasnya, ahli kekal bersama Muda adalah individu yang percaya kepada teras serta prinsip perjuangan parti terus konsisten mengangkat suara rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.