
Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan siswazah wanita dan lelaki kini memiliki kelayakan akademik yang setaraf.
“Kita perlu menyuarakan isu ini kerana sepatutnya tidak ada jurang, terutama sekali kalau kelayakan wanita itu sama dengan lelaki. Jadi, apa perbezaannya?” katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo dan tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025.
Beliau mengulas laporan Statistik Siswazah 2023 dikeluarkan Jabatan Perangkaan yang menyatakan siswazah wanita secara purata mendapat gaji RM900 lebih rendah berbanding lelaki, meskipun memiliki kelayakan akademik setara.
Nancy berkata wanita sering menghadapi cabaran tambahan, seperti tanggungjawab menjaga anak dan orang tua, namun perkara ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk memandang rendah mereka.
“Wanita ini kadang-kadang bekerja sebab mereka ada tanggungjawab tersendiri. Oleh itu, mereka tidak seharusnya dipandang rendah, terutama sekali dari segi pendapatan. Jika kelayakan mereka setara dengan lelaki, maka pendapatan juga sepatutnya sama,” katanya.
Nancy berkata kerajaan akan meneliti dasar-dasar berkaitan bagi menangani diskriminasi terhadap wanita.
Selain isu gaji, Nancy turut menyentuh usaha kementerian memperkasakan wanita melalui pelbagai program, termasuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita muda menerusi Program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis).
“Kita perlu lebih ramai pemimpin wanita muda dalam negara ini. Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM5 juta untuk melahirkan 100 perantis wanita. Harapan saya, mereka dapat terlibat dalam pelbagai bidang, termasuk politik,” katanya.
Nancy menyeru semua pihak berganding bahu mempromosikan kesaksamaan jantina, terutama menjelang sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac ini.
“Ia merupakan platform untuk kita meraikan pencapaian wanita dan menggerakkan usaha ke arah kesaksamaan yang lebih baik. Kita tidak mahu wanita kita disekat, sebaliknya diperkasakan untuk menjadi pemimpin dan pembuat keputusan,” katanya.
Nancy hari ini melancarkan tema Hari Wanita Antarabangsa 2025, iaitu “Wanita Beraspirasi Membina Legasi”, yang melambangkan usaha mengangkat wanita untuk mencipta perubahan yang berkekalan.
Hari Wanita Antarabangsa mula disambut pada 8 Mac 1975 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian daripada Tahun Wanita Antarabangsa.
Di Malaysia, kali pertama sambutan dianjurkan pada 1983.