
Beliau yang juga menteri perpaduan negara berkata bantuan diberikan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Pejabat Ahli Parlimen Kanowit.
“Saya ingin mengucapkan takziah dan rasa simpati saya kepada 88 penghuni Rumah Panjang Paulus Yan, yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran itu.
“Pejabat saya juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, jabatan kebajikan, serta badan-badan sukarela untuk memastikan proses bantuan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Aaron berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Datuk Aaron, Bawan, bagi menempatkan mangsa kebakaran yang terdiri daripada 15 keluarga.
Beliau berkata kejadian itu bukan sahaja memusnahkan kediaman mereka tetapi turut menyebabkan mangsa hampir kehilangan semua harta benda.
“Sebagai wakil rakyat bagi kawasan Kanowit, saya amat memahami kesusahan dan cabaran yang sedang dihadapi oleh mangsa kebakaran ini.
“Saya berharap semua mangsa diberi kekuatan, ketabahan, dan sokongan moral daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.
“Kita juga komited untuk membantu mangsa kembali bangkit daripada tragedi ini dan memastikan kehidupan mereka dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya.