
SKMM berkata kebakaran di pencawang Sungai Perak yang dikendalikan oleh Maxis itu menjejaskan perkhidmatan di Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.
Menurutnya, akses ke lokasi kejadian telah ditutup oleh pihak berkuasa bagi memudahkan siasatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, antara agensi terlibat.
“SKMM mengarahkan penyedia perkhidmatan berkaitan untuk melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta termasuk penyediaan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Katanya, SKMM juga melaksanakan penyelesaian sementara dengan mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak (arah utara) PLUS bagi memastikan pengguna lebuh raya kekal mempunyai akses komunikasi.
Semalam, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Bomba Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 6.36 petang.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan pemilik tanah yang menggunakan alat pemadam api serta air tadahan.