
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Daniel Qayyum Kamalrolzlan, 23, yang hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Balqis Roslin, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Hayani Yaakob, 51, dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, di sebuah rumah di Lorong Nakhoda 5, Taman Teluk Air Tawar kira-kira 9.45 pagi, 10 Dis lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung.
Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Idayu Yusoff mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding itu, Nor Idayu memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan ia adalah kes bunuh.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan 29 Jan tahun depan sebagai tarikh serahan laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 50-an dan kanak-kanak perempuan yang juga anak angkatnya ditemukan rentung dalam kebakaran di rumah sewa mereka manakala anak lelaki mangsa berusia 20-an cedera selepas dihempap bumbung dapur.
Polis sebelum ini mengklasifikasikan kematian dua beranak itu sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan forensik kebakaran daripada bomba Pulau Pinang.
Bagaimanapun, polis kemudian mengenal pasti lelaki berkenaan sebagai suspek kes itu sebelum direman seminggu.