
Hakim Amarjeet Singh berkata, pekeliling perkhidmatan dikeluarkan pada 2016 menjejaskan semakan gaji bagi penjawat awam.
Hakim berkata, berikutan itu, pesara kerajaan berhak di bawah Akta Penyelarasan Pencen kepada pencen sepadan dengan gaji.
Amarjeet memerintahkan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuat bayaran pencen diperlukan dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini.
Beliau juga menolak permohonan lisan bagi penangguhan oleh peguam persekutuan, M Kogilambigai dan mengarahkannya memfailkan permohonan formal.
Peguam Shukor Ahmad dan Baljit Singh Sidhu mewakili pemohon.
Pada 29 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas penjawat awam, Aminah Ahmad dan pemohon bersamanya kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman selepas peguam negara tidak mengemukakan bantahan.
Permohonan itu menamakan kerajaan dan ketua pengarah JPA sebagai responden.
Permohonan itu bagi memaksan responden melaksanakan pelarasan bagi pencen mereka mengikut formula ditetapkan dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen, sebelum pindaan kepada undang-undang berkenaan dibuat pada 2013.
Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred sama.
Pindaan pada 2013 memperkenalkan kenaikan tahunan kadar rata sebanyak 2%.
Aminah kalah dalam saman permulaan di Mahkamah Tinggi pada 2020.
Namun, Mahkamah Rayuan pada 2022 membatalkan keputusan itu, dan memutuskan pindaan terhadap Akta Penyelarasan Pencen pada 2013 batal dan tidak sah kerana meletakkan pemohon pada kedudukan kurang baik, berbanding sebelum ini, yang melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 27 Jun 2023, lima hakim Mahkamah Persekutuan bersidang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.