Terpedaya untung 50 kali ganda, pesara rugi RM9.47 juta

Terpedaya untung 50 kali ganda, pesara rugi RM9.47 juta

Polis berkata mangsa membuat 29 transaksi berjumlah RM9.47 juta ke 11 akaun bank berbeza antara Oktober hingga Disember lalu.

Polis berkata mangsa yang enggan membayar RM800,000 untuk mengeluarkan semua wang pelaburannya, percaya ditipu selepas dua individu berurusan dengannya sebelum ini gagal dihubungi. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang pesara jurutera kerugian hampir RM9.5 juta akibat terpedaya pelaburan mata wang kripto tidak wujud dalam talian yang menawarkan keuntungan 50 kali ganda.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata mangsa berusia 63 tahun membuat laporan semalam memaklumkan kejadian itu bermula Julai 2024, apabila dia melihat iklan pelaburan kripto di media sosial.

“Mangsa menekan pautan tersedia dan kemudian masuk ke kumpulan WhatsApp serta dihubungi dua individu memberikan penerangan berkaitan cara melabur dengan keuntungan 50 kali ganda daripada jumlah dilaburkan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu memuat turun dan mendaftar akaun pelaburan dalam aplikasi diarahkan bertujuan memantau pelaburan dibuat,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, mangsa membuat 29 transaksi berjumlah RM9.47 juta ke 11 akaun bank berbeza antara Oktober hingga Disember lalu.

Beliau berkata, selepas menyemak aplikasi dimuat turun dan mendapati pelaburannya mencatat keuntungan RM88 juta, mangsa berhasrat mengeluarkan semua wang pelaburannya, tetapi diarahkan membuat pembayaran RM800,000.

Katanya, warga emas itu enggan membayar jumlah itu dan percaya ditipu selepas dua individu berurusan dengannya sebelum ini gagal dihubungi.

Kumar menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya tawaran pelaburan dalam talian dan di media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.